Kasihkan Tok Guru, pemuda ikrar pertahan Dun Chempaka

| .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Perak berikrar akan mempertahankan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka sebagai tanda kasih mereka kepada Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Pemuda PAS Perak, Mohd Fakhrurazi Mokhtar berkata, pihaknya akan menghimpunkan jentera dan mengadakan himpunan besar-besaran anak Perak bagi membangkitkan semangat berhadapan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Chempaka.

"Kami akan pastikan kemenangan besar di Dun Chempaka demi memberi signal jelas kepada rakyat Kelantan dan Malaysia amnya bahawa legasi Tok Guru harus dipertahankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mengingatkan seluruh jentera PAS agar tidak terperangkap dengan taktik Umno yang kononnya tidak mahu meletakkan calon di Dun tersebut.

"Pemuda PAS Perak melihat taktik Umno ini sebenarnya mahu melemahkan semangat jentera PAS agar tidak bersedia dengan lebih kemas dan sepenuhnya berdepan PRK DUN Chempaka," tegasnya yang juga bendahari Pemuda PAS Malaysia.

Beliau turut mendesak kerajaan membayar royalti Petroleum Kelantan yang tertunggak sejak 2004 lagi jika benar Umno menghormati dan ikhlas mengiktiraf ketokohan serta jasa almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 10 Mac ini bagi penamaan calon dan proses pembuangan undi pada 22 Mac pada PRK Dun Chempaka.

PRK DUN Chempaka diadakan berikutan kekosongan kerusi setelah penyandang,Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pada 12 Februari lalu. - HARAKAHDAILY 19/2/2015 

Share on Myspace