Road show kes Anwar: Hanipa sedia debat dengan Shafee

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: AJK PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin mengikuti dengan penuh minat perkembangan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya selepas keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan beliau dan mengenakan hukuman lima tahun penjara.

"Saya dapati ada suatu yang tidak kena di dalam kes ini kerana meskipun Mahkamah Persekutuan telah menjatuhkan hukuman ke atas Anwar, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah masih terus mengeluarkan kenyataan termasuk menyerang Anwar di dalam akhbar dan juga yang terkini dalam forum yang dianjurkan oleh Umno," ujarnya dalam satu kenyataan.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat itu menambah, berdasarkan laporan media dikatakan Shafee bersedia berdebat dengan mana-mana peguam berkaitan isu Anwar itu.

Katanya lagi, Ketua Pemuda Umno Malaysia juga dikhabarkan turut mencabar mana-mana pihak untuk berdebat dengan Shafee dalam isu yang sama di samping Umno dikhabarkan juga akan mengadakan program road show bagi menerangkan isu itu.

"Saya merasa terpanggil dan insya Allah bersedia menyahut cabaran Shafee atau Ketua Pemuda Umno tersebut dan bersedia untuk berdebat atau berwacana sama ada dengan Shafee sendiri atau Ketua Pemuda Umno Malaysia berkaitan isu tersebut.

"Maka saya berharap jika respons saya ini mendapat respons balas daripada mereka berdua mudah mudahan satu sessi perdebatan terbuka akan diadakan berkenaan isu tersebut," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Sepang.

Bagaimanapun, ujarnya perdebatan tersebut hendaklah diadakan di mana mana universiti awam di negara ini dan hendaklah juga dalam masa yang sama disiarkan secara langsung oleh RTM atau TV3 supaya rakyat di negara ini mendapat maklumat secara langsung tentang apa yang dikatakan oleh ahli ahli panel.

"Jika Shafee tidak selesa untuk berdebat dengan saya, saya bersedia berdebat dengan Ketua Pemuda Umno Malaysia berkaitan isu yang sama," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 19/2/2015

Share on Myspace