Unisel enggan komen pelajar ditahan video ‘Isis Malaysia’

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Universiti Selangor (Unisel) enggan memberi kenyataan bercanggah yang boleh mengganggu siasatan polis ekoran penahanan seorang pelajarnya dalam kes video ‘Isis Malaysia’ yang mahu menyerang mahkamah menggunakan mercun.

Ketua Komunikasi Korporat, Hasril Abu Hassan dalam satu kenyataan berkata, Unisel sedia maklum berkenaan penahanan itu yang bertujuan membantu siasatan ekoran pelajar terbabit memuat naik poster ke dalam facebook.

Katanya, Unisel mendoakan pelajar berkenaan tidak bersalah dan dikecualikan daripada sebarang tindakan undang-undang.

Menurutnya, untuk tidak mengganggu segala siasatan berhubung perkara berikut, universiti tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan bercanggah.

“Cukup hanya sekadar memahami keperluan itu dan berharap pelajar Unisel serta Universiti Sains Malaysia (USM) dapat dilepaskan selepas siasatan selesai,” katanya dipetik Selangor Kini.

Semalam, Bernama melaporkan polis menahan dua pelajar institut pengajian tinggi susulan tindakan memuat naik risalah berbentuk poster berunsur provokasi dalam media sosial yang dikaitkan dengan bantahan terhadap sistem mahkamah.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dua individu itu, seorang dari Unisel dan seorang dari USM. - HARAKAHDAILY 19/2/2015

Share on Myspace