Kes Altantuya: Polis digesa siasat bukti baru

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ekoran laporan The Sydney Morning Herald mengatakan Koperal Sirul Azhar Omar membunuh model Mongolia Altantuya Shaaribuu atas arahan pihak tertentu, DAP menggesa siasatan polis terhadap motif pembunuhan berprofil tinggi itu.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, ditemani Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh membuat laporan polis di IPD Dang Wangi pada jam 9.40 pagi tadi.

“Kita sudah buat laporan polis sebagai tindakan susulan atas dakwaan Sirul tersebut dan minta pihak polis adakan siasatan polis berikutan kenyataan terbaru ini," kata Ramkarpal dipetik Roketkini.

Katanya, kenyataan terbaru Sirul itu menunjukkan ada keterangan bukti baru mengenai motif pembunuhan Altantuya

Menurutnya, walaupun Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati untuk kes tersebut, itu bukanlah bermaksud kes itu telah berakhir.

“Memandangkan Sirul mendedahkan ada personaliti lain dalam kes tersebut, maka siasatan harus diteruskan secara terperinci,” tegasnya.

Beliau turut menyelar sikap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menolak menjalankan siasatan di samping menuduh Sirul menyatakan hal yang tidak benar kepada media.

“Kenyataan KPN langsung tidak boleh diterima. Kerana ini adalah isu kepentingan awam, isu pembunuhan Altantuya sudah menjadi tajuk berita antarabangsa, seluruh dunia sudah tahu.

“KPN tidak boleh butakan matanya untuk tidak siasat. Ini sikap yang tidak boleh diterima,” tegasnya lagi.

Share on Myspace