PRK Chempaka: Pelaburan Umno pecahkan PR

SUHAIZAN KAIAT | .

 

TOK Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kita sayangi telah meninggalkan kita semua pada khamis malam Jumaat 12 Februari 2015 yang lepas dengan ilmu dan pejuangan PAS yang perlu diteruskan.

Dengan kuasa dan pengaruh yang dimiliki, Almarhum telah menaikkan imej PAS di mata masyarakat muslim dan non-muslim. Walaupun beliau seorang tokoh pemimpin Islam, tetapi tetap dihormati oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Semasa hayatnya, Beliau mengajar setiap Jumaat di Dewan Prof Dzulkifli Muhammad Kota Baharu. Kupasan terhadap ilmu-ilmu agama sangat segar. Setiap kali berjumpa ada sahaja ilmu baru yang kita peroleh.

Umno sebagai parti saingan kepada PAS tidak memberi peluang kepada beliau mentadbir Kelantan dengan selesa. Pelbagai tekanan dibuat bahkan bagaikan anak tiri yang dibiarkan melarat malah dihina oleh media arus perdana.

UMNO BERMUKA-MUKA

Menariknya selepas beliau meninggal dunia, Umno dan media arus perdana membuat pendekatan u-turn 360 darjah. Daripada seorang yang dihina setiap hari bertukar kepada tokoh yang dihormati.

Media arus perdana memberi liputan tidak sebagaimana semasa beliau masih hidup. Menariknya, sudah ada pandangan daripada pimpinan Umno yang tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Chempaka di mana beliau menjadi ADUN selama 7 penggal sejak tahun 1986.

Jika perkara ini berlaku maka PAS mendapat laluan mudah untuk menguasai semula Dun Chempaka, insya-Allah.

Penamaan calon akan diadakan pada 10 Mac 2015 dan pengundian pada 22 Mac 2015. Soalnya kenapa Umno u-turn secara tiba-tiba dan tidak mahu bertanding di Chempaka?

Pimpinan mereka berhujah pertamanya sebagai menghormati Almarhum. Keduanya, untuk menjaga hubungan negeri dan Pusat. Ketiganya, mahu elakkan pembaziran.

Itu yang tersurat. Apa pula yang tersirat? Dalam politik yang tersirat itu lebih utama daripada yang tersurat.

Supaya kita tidak dianggap ‘lurus bendul’, maka kita perlu memahami apa yang tersirat di sebalik strategi terbaru Umno ini. Politik lurus bendul adalah politik yang bertentangan dengan Politik Budiman.

Sebelum itu, secara tersurat Umno memberi alasan menghormati Almarhum. Boleh percayakah? Sepatutnya Almarhum dihormati semasa hayatnya bukan setelah beliau meninggal dunia.

Umno sepatutnya menghormati beliau semasa bertugas sebagai Menteri Besar tetapi sebaliknya Kelantan ditekan habis-habisan. Tiba-tiba sikap Umno sekarang ini berubah umpama 'pijak semut pun tidak mati'.

Tiada pemimpin yang rasional atas muka bumi ini boleh percaya dengan perangkap seumpama ini.

Umno tidak masuk dalam Pilihan Raya Kecil Chempaka adalah kononya untuk menjaga hubungan negeri dan pusat. Soalnya, kenapa pula Umno mahu bertanding di Permatang Pauh? Bukankah Permatang Pauh berada di sebuah negeri yang namanya Pulau Pinang? Kelantan dan Pulau Pinang adalah kerajaan negeri dibawah Pakatan Rakyat. Kenapa Umno tidak mahu menjaga hubungan antara kerajaan negeri dan pusat di Pulau Pinang? Persoalan-persoalan ini memberi jawapan yang Umno hanyalah mencari alasan.

Berjimat untuk tidak masuk dalam pilihan raya adalah hujah yang paling lucu. Mungkin Pilihan Raya Kecil Chempaka memerlukan RM3 juta hingga RM5 juta. Nilai ini terlalu kecil berbanding aktiviti-aktiviti pemimpin Umno selama ini. Bagi sesetengah pemimpin Umno, nilai RM5 juta umpama tahi gigi sahaja. Perbelanjaan bulanan mereka pun lebih daripada nilai tersebut. Apalah sangat nilai RM5 juta berbading RM6.7 bilion komisen kapal selam yang sedang dibicarakan di mahkamah Perancis.

Umno adalah sebuah parti politik yang pragmatik. Pendekatannya akan berubah mengikut keperluan. Setiap tindakkan politik adalah suatu pelaburan. Umno akan mengira untung dan rugi dalam politik. Apa untungnya bertanding dan apa ruginya jika tidak betanding?

Jika bertanding di Chempaka Umno sangat sukar untuk memang.  PAS telah menang 7 penggal di Dun tersebut dan hampir mustahil untuk Umno menang. Walau bagaimanapun ketentuan akhir datangnya daripada Allah SWT.

Jika bertanding maka kelemahan Perdana Menteri dan Umno akan terdedah dalam kempen pilihan raya. Isu Sirul dan Altantuya, hukuman 5 tahun penjara Datuk Sri Anwar, GST, kejatuhan nilai wang, 1MDB, Tun Mahathir tolak Najib, kapal hilang, harta Najib dan lain-lain isu akan dibangkitkan.

Inilah antara sebab Umno boleh rugi dalam jika menyertai Pilihan Raya Kecil Chempaka.

Jika Umno tidak bertanding di Chempaka, pertamanya, Umno telah membina imej yang positif terhadap Almarhum. Imej Umno yang menentang ulama dan menentang Islam dapat dipulihkan. Selari dengan sikap Umno yang kononnya menyokong Kanun Jenayah Syariah 2, Kelantan.

Keduanya, isu-isu kelemahan kerajaan BN tidak akan didedahkan dalam kempen-kempen pilihan raya.

Ketiganya, Umno dapat melakonkan kejujurannya untuk menyatukan PAS dan Umno. Ini boleh menyebabkan kecurigaan kepada rakan-rakan dalam PR, memerangkap sebahagian ahli PAS yang ‘lurus bendul’ dan memerangkap minda rakyat yang tidak memahami realiti politik sebenar.

PECAH BELAH PR AGENDA TERSIRAT UMNO

Agenda tersirat Umno adalah untuk memecahkan PAS daripada PR yang telah menjadi ancaman terbesar BN dalam pilihan raya umum 2013. Rakyat Malaysia mesti memahami bahawa perpecahan PR adalah pelaburan Umno yang sebenar dalam Pilihan Raya Kecil Chempaka.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lepas, PR telah mengusai 51 peratus undi popular mengatasi BN dan BN sebenarnya telah kalah di Semenanjung Malaysia. Sabah dan Sarawak yang telah menyelamatkan BN.

Kekalahan BN ini adalah berpunca daripada kesepaduan parti-parti dalam PR. BN sudah tentu mencari jalan untuk memecahkan PR. Itulah satu-satunya jalan untuk menyelamatkan BN.

Maka pelbagai agenda telah dirangka dan dilaksana. Antaranya mensensasikan pentembungan PAS dan DAP dan pertembungan PAS dan PKR. Perbezaan pendirian parti dalam PR dipergunakan semaksima mungkin. Maka perbezaan 10 peratus dalam PR disensasikan menjadi 99 peratus. Menariknya, ada pimpinan dalam PR yang termakan dengan propaganda BN dan menyambut gerak tari mainan media arus perdana BN.

Kesimpulannya, setiap langkah Umno adalah langkah berstrategi. Umno mempunyai pakar strategi yang berfikir setiap hari untuk memberi kelebihan kepada mereka.

Saya selalu menyebut dalam ceramah walaupun Umno lemah. Mereka sebenarnya tidak bodoh. Umno sangat bijak mengatur strategi. Media dan kewangan mendokong strategi mereka. Tidak mungkin Umno mengambil langkah rugi jika untung ada dihadapan mereka.

Yang lebih penting PAS dan PR perlu bijaksana. Jangan mudah terperangkap dalam jerangkap samar yang dipasang oleh Umno dan Barisan Nasional. – HARAKAHDAILY 20/2/2015

Share on Myspace