PAS bersedia ke Australia temukan Sirul dan ibunya

MUHAMMAD FAIZAL | .

 

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar hari ini menyatakan kesediaan pihaknya untuk ke Australia dalam masa terdekat bagi menemui  Koperal Sirul Azhar Umar.

Beliau ketika dihubungi berkata, pihaknya (PAS) kini sedang menyiapkan urusan visa serta pembelian tiket ibu Sirul, Piah Samad, 74 bagi melihat perkembangan anaknya di sana.

"Kita sekarang dalam proses pembelian tiket serta menguruskan visa. Urusan pasport dah selesai, kita harap segalanya akan selesai secepat mungkin.

"Apabila semuanya telah selesai, kita akan memaklumkan tarikh bila berlepas, kita akan segerakan urusan ke Australia bagi memenuhi harapan Piah bertemu anaknya yang kini dalam tahanan," katanya pada Harakahdaily.

Beliau ketika ditanya selain menemukan Piah dengan Sirul, adakah akan ada pendedahan dilakukan nanti.

"Kita tidak akan memaksa Sirul untuk membuat pendedahan apa sebenarnya berlaku, biar dari kerelaannya sendiri.

"Apa yang pasti kita dapat memenuhi harapan serta hajat ibu Sirul untuk bertemu anaknya sementara hayatnya masih ada.

"Kita harap segala proses serta perjalanan ke Australia termasuk pertemuan nanti berjalan lancar tanpa sebarang halangan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi.

Kali terakhir Piah bertemu anaknya ketika Mahkamah Rayuan membebaskan anaknya daripada tuduhan. – HARAKAHDAILY 20/2/2015

Share on Myspace