Kerajaan Pusat digesa dedah perjanjian Kidex

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Polemik pembatalan Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex) kini mula menjadi perdebatan umum. Oleh itu, kerajaan pusat di gesa mendedahkan kepada umum seperti yang disyaratkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Gesaan itu dibuat oleh Adun Bukit Gasing, R. Rajiv seperti yang dilaporkan kepada Selangorkini. Beliau mengatakan bahawa pengumuman itu lebih penting untuk rakyat berbanding terus mencari jalan meneruskan Kidex walau tanpa persetujuan Kerajaan Negeri.

“Adalah salah apabila pihak kementerian mengabaikan tiga syarat utama yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Pusat melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ada syaratnya, Kerajaan Negeri juga ada hak untuk melindungi kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pihaknya memenuhi kesemua syarat ditetapkan dan akan merujuk perkara berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara.

Pada Isnin lalu, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengumumkan pembatalan Kidex ekoran pihak konsesi gagal mematuhi tiga syarat sebelum 14 Februari.

Antaranya termasuk gagal menyediakan Penilaian Impak Lalulintas yang bebas, Penilaian Impak Sosial dan Penilaian Impak Alam Sekitar.

Syarikat konsesi juga gagal mendedahkan anggaran rasmi jumlah tol yang akan dikutip dan kadar pulangan kepada pelaburan termasuk kadar tol yang akan dikenakan.

Share on Myspace