Legasi Pemikiran Ekonomi TG Nik Aziz II

SYAHIR SULAIMAN | .

 

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Al-A’raf: 96)

PENDAHULUAN

Bahagian ke-2 daripada penulisan ringkas ini akan menilai kejayaan pelaksanaan dasar dan program ekonomi sepanjang pentadbiran Al-Marhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat (1931-2015) (“TGNA”) sebagai Menteri Besar Negeri Kelantan (1990-2013).

DASAR & PROGRAM EKONOMI TGNA

i) Ekonomi Berkebajikan

Memetik ucapan Belanjawan Negeri Kelantan Tahun 2013 oleh TGNA:

“KDNK Negeri Kelantan pada tahun 2013 dijangka meningkat kepada RM11.14 bilion dengan kadar pertumbuhan 6.9%, manakala pertumbuhan KDNK Malaysia pada 2013 dijangka pada kadar 4.0% sehingga 5.0%. Sektor Perkhidmatan, Pertanian dan Pembuatan dijangka akan terus menjadi penyumbang utama KDNK Negeri Kelantan bagi tahun 2013 iaitu masing-masing sebanyak 80.4%, 17.9% dan 4.%. Bagi menyokong hasrat kerajaan, Bajet 2013 turut meliputi penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas bagi menggalakkan aktiviti perniagaan dan keusahawanan. Kerajaan akan terus menyediakan bantuan ekonomi dan peluang pekerjaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.”

Jika disorot pengalaman negeri Kelantan yang telah ditadbir selama 22 tahun berteraskan dasar Membangun Bersama Islam, selayaknya untuk negeri Kelantan diiktiraf sebagai model mini ke arah pembentukan sebuah Negara Berkebajikan di Malaysia. Ini terbukti apabila Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan model ekonomi yang mengutamakan pembangunan seiring di antara aspek material dan rohani, meskipun berhadapan dengan kekangan kewangan dan penafian hak oleh pihak kerajaan Persekutuan, termasuklah hak terhadap royalti minyak untuk dinikmati oleh anak jati negeri Kelantan (Syahir Sulaiman, 2013).

Selain peranan pihak Kerajaan Negeri sebagai penggubal dasar dan pengawal selia aktiviti pembangunan dan kebajikan, kerancakan dan daya tahan ekonomi negeri Cik Siti Wan Kembang ini turut disokong oleh kekuatan kuasa beli (purchasing power) dan permintaan tempatan (domestic demand) di kalangan rakyat negeri Kelantan, khususnya dalam aspek perniagaan kecil dan sederhana, ditambah pula dengan budaya sedekah, zakat dan wakaf yang sinonim dengan rakyat negeri Kelantan, berteraskan prinsip fastabiqul-khairat (berlumba-lumba ke arah kebaikan).

ii) Amalan Berjimat Cermat

Di awal pentadbirannya, TGNA yang lebih mementingkan kehidupan yang sederhana telah mengumumkan behawa beliau akan menyumbangkan sebanyak 45% daripada elaun bulanannya kepada tabung kebajikan Negeri dan Parti. Langkah ini tidak pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin negeri dan negara sebelum ini, malah berjaya menyuntik semangat untuk rakyat Kelantan berlumba-lumba melakukan amalan sedekah.

Selain daripada itu, TGNA juga mengumumkan bahawa beliau tidak akan mengambil peruntukan majlis berbuka puasa dan jamuan hari raya yang biasa disediakan untuk Menteri Besar sebanyak RM15,000, malah perbelanjaan bagi kedua-dua majlis tersebut adalah dengan menggunakan duit peribadi beliau. Tindakan beliau untuk tidak berpindah ke kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan (JKR 10), malah terus mendiami rumahnya di Kampung Pulau Melaka menunjukkan TGNA lebih gemar mengikut gaya hidupnya yang sederhana dan dengan ini hubungannya dengan rakyat kekal erat. Langkah seterusnya adalah beliau hanya menggunakan kenderaan rasmi untuk perjalanan yang ada kaitan dengan urusan kerajaan dan rakyat negeri Kelantan sahaja (Surtahman dan Norfadzilah, 2004).

Malah, budaya memberi hadiah kepada dif kehormat pada upacara rasmi kerajaan telah dihapuskan. TGNA merasakan amalan seumpama itu adalah satu perbuatan yang membazirkan wang rakyat dan dengan menghapuskan amalan ini, perbelanjaan tahunan untuk kos hadiah tersebut boleh disalurkan untuk kebajikan rakyat yang lebih memerlukan. Amalan pemberian dan penerimaan hadiah ini juga secara tidak sedar akan membenihkan bibit-bibit amalan rasuah dalam kerajaan. Pendirian TGNA dalam perkara ini telah menjadi ikutan kepada Ahli Exco Kerajaan yang lain dan mereka menganggap bahawa langkah yang dilakukan ini adalah selaras dengan kehendak Islam yang menganjurkan umatnya supaya menjauhi perbuatan membazir (Surtahman dan Norfadzilah, 2004).

Menarik untuk disorot ungkapan TGNA dalam persoalan ini, “Saya lebih pentingkan kehidupan yang mewah di akhirat berbanding di dunia sekarang. Saya tanamkan dalam jiwa saya, apabila meninggal dunia nanti saya pasti tanpa meninggalkan sebarang hutang. Ini sudah cukup bagi saya. Paling saya takut meninggalkan hutang di kedai runcit atau sebagainya” (Syahir Sulaiman, 2013).

iii) Pengurangan Kemiskinan

Dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan, TGNA telah mengemukakan pendekatan terbaik yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah kemiskinan, sebagaimana yang dinyatakan beliau kepada Surtahman dan Norfadzilah (2004), antaranya:

(a)    Peranan ilmu: Ilmu, jasmani, rohani dan emosi adalah elemen-elemen yang penting dalam diri manusia. Di sini, TGNA menekankan bidang ilmu sebagai jalan untuk mengelakkan daripada wujudnya kemiskinan dalam jangka masa panjang. Menurutnya, ilmu adalah penyuluh kepada kehidupan manusia, maka orang yang berilmu ialah orang yang bijak dalam menyelesaikan masalah masyarakat khususnya yang melibatkan umat Islam. Antara legasi TGNA dalam membangunkan budaya ilmu di kalangan rakyat negeri Kelantan adalah penubuhan Maahad Tahfiz Quran Pulai Chondong pada tahun pertama pentadbirannya (1990) diikuti penubuhan beberapa buah Maahad Tahfiz Sains di negeri Kelantan, di samping penerusan peruntukan biasiswa pendidikan dan zakat di bawah Yayasan Islam Kelantan, dan pembudayaan ilmu di segenap peringkat masyarakat;

(b) Galakan bekerja: Setiap orang yang memiliki syarat dan keupayaan hendaklah bekerja kerana menjadi tanggungjawab manusia selaku hamba dan khalifah untuk mengusahakan segala sumber yang diamanahkan kepadanya untuk membangun dan memakmurkan bumi ini;

(c)  Agihan zakat: Instrumen zakat adalah satu elemen yang boleh digunakan untuk membasmi atau mengurangkan kadar kemiskinan, melalui perintah supaya orang Islam yang kaya untuk mengeluarkan zakat dan orang kaya bukan-Islam juga dikenakan cukai dalam bentuk kharaj, jizyah dan ‘usyur. Ini semua adalah bertujuan untuk mewujudkan keseimbangan ekonomi antara rakyat dan bagi mengelakkan pembolotan harta bagi golongan-golongan tertentu;

(d) Kemajuan pertanian: Pembangunan di sektor pertanian boleh membantu ke arah pembasmian kemiskinan yang dihadapi oleh para petani dan pekebun di luar bandar. Antara inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri adalah melalui pembaharuan dalam bidang teknologi pertanian, sumbangan insentif, pembukaan tanah baru, pembesaran saiz tanah pertanian, penghapusan segala cukai yang membebankan petani, pemberian subsidi baja dan subsidi harga,  dan penyediaan kemudahan infrastruktur asas seperti parit dan tali air dalam usaha menjadikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara.

Bagi memastikan sektor pertanian di Kelantan berkembang sejajar dengan tuntutan agama, TGNA telah melancarkan kempen ‘Bertani Satu Ibadah’ pada tahun 2009. Ini bersesuaian dengan usaha untuk memberi kesedaran secara lebih menyeluruh terhadap kepentingan sektor pertanian, bagi melahirkan masyarakat tani yang menghayati Islam dan konsep ibadah dalam kehidupan harian mereka sekali gus sebagai faktor pendorong kepada para petani untuk memerah keringat dengan lebih tekun dalam usaha memajukan pertanian mereka (Syahidah dan Adib, 2013).

(e) Budaya sedekah: Amalan sedekah jariah ini amat digalakkan oleh Rasulullah SAW dan dilakukan oleh sahabat-sahabat yang kaya dan berkemampuan. TGNA mengingatkan bahawa sedekah yang diberikan kepada golongan miskin tidak hanya pada bantuan kebendaan semata-mata tetapi hendaklah disertai juga bantuan kerohanian, iaitu nasihat yang patut dibekalkan kepada penerima bantuan untuk kehidupan di akhirat kelak. Beliau mengingatkan bahawa bantuan kebendaan itu hanyalah sekadar keperluan di dunia sahaja tetapi kehidupan di akhirat mesti berbekal takwa kepada Allah SWT.

Selain itu, kerajaan Kelantan turut menyediakan peruntukan untuk rakyat miskin di negeri tersebut. Antaranya ialah memberi bantuan bekalan air bersih dan elektrik serta bantuan khas untuk orang miskin. Bagi bekalan air bersih dan elektrik, jumlah peruntukan pada tahun 2013 adalah sebanyak RM1 juta manakala bagi bantuan khas adalah sebanyak RM1 juta. Pelajar miskin turut diberikan bantuan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran. Dalam belanjawan 2013, peruntukan yang disediakan untuk pelajar miskin adalah sebanyak RM500,000. Kerajaan juga meneruskan program membantu kesihatan kepada rakyat miskin yang menghidapi penyakit kronik dimana peruntukan sebanyak RM 505,000 telah disediakan (Syahidah dan Adib, 2013).  

Mengikut rekod, kadar kemiskinan di negeri Kelantan pada 1970 (sebelum pelaksanaan DEB) sebanyak 76.1% adalah tertinggi di Semenanjung, dan menunjukkan penurunan ke paras 29.6% pada 1989, di tangga ketiga selepas Kedah (29.9%) dan Terengganu (31.3%). Bahkan pada 2009, Kelantan berjaya mengurangkan kemiskinan kepada 4.8%, mendahului Kedah (5.3%), Sarawak (5.3%) Perlis (6.0%) dan Sabah (19.2%), malah mencatatkan rekod yang lebih baik daripada kemiskinan Bumiputera seluruh Malaysia pada kadar 5.3% (Abdullah Sudin, 2013).

iv) Kos Sara Hidup Rendah

Satu kelebihan yang terdapat di negeri Kelantan adalah kos sara hidup rakyat yang rendah berbanding di negeri dan bandar lain. Walaupun paras KDNK per kapita dan pendapatan isi rumah negeri Kelantan (2012: RM3,168; Msia: RM5,000) adalah rendah berbanding di negeri lain, namun kuasa beli dan kerancakan permintaan domestik di negeri Kelantan secara relatifnya adalah lebih tinggi.

Ini dapat dilihat daripada beberapa pemerhatian terhadap aspek sosio-ekonomi yang melatari kehidupan harian rakyat Kelantan seperti berikut (Syahir Sulaiman, 2013):

a) Tunai dan Emas – Urus niaga jualbeli dalam bentuk tunai yang tinggi adalah petanda utama dalam mengukur kekuatan ekonomi rakyat Kelantan dan turut menyumbang kepada merancakkan aktiviti perniagaan kecil dan sederhana di Kelantan. Amalan berhutang di kedai runcit amat jarang diamalkan di Kelantan, apatah lagi transaksi jual-beli menggunakan kad kredit sebagaimana menjadi amalan biasa warga kota yang dihimpit beban sara hidup yang tinggi. Transaksi tunai yang rancak ini sekaligus menjadi pemangkin kepada budaya berniaga di kalangan rakyat Kelantan apabila permintaan terhadap barangan sentiasa tinggi, sama ada barangan runcit mahupun makanan;

b) Tanah dan Rumah – Rakyat Kelantan secara umumnya lebih mengutamakan perbelanjaan untuk pemilikan aset kekal, daripada urusniaga pembelian tanah (atau pecah lot) yang amat popular di Kelantan sehinggalah kepada sekecil-kecil pemilikan aset seperti haiwan ternakan yang biasanya akan dijual untuk menampung perbelanjaan pendidikan anak-anak;

c) Bank dan Tabungan – Kewujudan banyak cawangan bank di daerah kecil seperti Bachok, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang adalah menarik untuk dikaji dan dibandingkan dengan situasi di daerah kecil yang setaraf di negeri lain. Ini kerana, bagi daerah ‘miskin dan mundur’ sebegini, kewujudan banyak cawangan bank komersial menjadi penanda aras terhadap tahap tabungan dan simpanan modal di kalangan rakyat Kelantan yang tinggi;

d) Infaq dan Sedeqah – Pembinaan masjid dan surau yang banyak di Kelantan semuanya ditampung oleh sumbangan infaq, sedekah, zakat dan wakaf yang sudah sinonim dengan rakyat Kelantan. Pendidikan merupakan institusi utama yang mendapat manfaat daripada budaya infaq ini, baik dari segi  pembiayaan pondok, madrasah dan sekolah agama rakyat, sehinggalah kepada pembiayaan pendidikan anak-anak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

v) Tabung Serambi Mekah

Dana kebajikan ini telah ditubuhkan pada tahun 1991 dibawah seksyen 9(1) Akta Tatacara Kewangan oleh Kerajaan Negeri Kelantan, bertujuan untuk program pengupayaan golongan miskin dan bantuan kebajikan untuk mereka yang ditimpa mala petaka, bencana alam dan penyakit kronik, di samping bagi menampung kos pembinaan projek infrastruktur bagi kesejahteraan rakyat. Wang tabung boleh terdiri daripada hadiah atau sumbangan berupa keuntungan, sedekah dan lain-lain hasil daripada pemberian orang ramai atau organisasi, persatuan, yayasan atau firma dan koperasi. Menurut Laporan Audit Negeri Kelantan 2010, baki akaun ini pada tahun 2010 berjumlah RM11.5 juta berbanding RM9.1 juta pada tahun 2009 (Syahidah dan Adib, 2013).  

vi) Rumah Dhu’afat, Skim al-It’am, Ladang Rakyat

Bantuan rumah untuk golongan miskin telah dilaksanakan di bawah program Rumah Dhu’afat bermula pada tahun 2006. Bantuan ini diperuntukan bagi tujuan pembinaan dua buah rumah di setiap DUN bagi membantu meringankan beban rakyat untuk membaiki dan membina rumah sendiri. Pada tahun 2011 melalui peruntukan yang disediakan, sebanyak 71 buah rumah dhu’afat telah dibina. Pada tahun 2013, jumlah yang diperuntukkan untuk bantuan rumah dhufat adalah sebanyak RM5.5 juta (Syahidah dan Adib, 2013).

Program Bantuan Beras Percuma atau dikenali sebagai Skim al-It’am telah dilaksanakan bermula pada tahun 2011. Badan yang bertanggungjawab mengendalikan program ini ialah Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad iaitu syarikat milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), dan sejumlah RM 2.5 juta telah diperuntukkan bagi menjayakan program ini pada tahun 2012. Seramai 180 keluarga miskin daripada setiap Dewan Undangan Negeri akan menerima 10 kg beras pada setiap bulan.

Pada tahun 2006, Kerajaan Negeri Kelantan telah melaksanakan Program Ladang Rakyat yang merupakan satu inisiatif kerajaan negeri bagi membendung masalah penerokaan tanah kerajaan dan membebaskan rakyat dari belenggu kemiskinan. Pada tahun 2011, sebanyak 19 kawasan tanah Kerajaan seluas 81,095 ekar di Jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah telah diluluskan untuk dibangunkan sebagai kawasan Ladang Rakyat dengan penanaman kelapa sawit. Hasil pajakan dan keuntungan ini merupakan pendapatan utama Perbadanan Ladang Rakyat yang akan diagihkan sebagai dividen kepada penduduk miskin seramai 4,767 orang yang dikenali sebagai peserta Ladang Rakyat (Syahidah dan Adib, 2013).  

vii) Tuntutan Royalti Petroleum

TGNA ketika menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan meletakkan agenda tuntutan royalti petroleum sebagai agenda utama dalam perjuangannya untuk rakyat negeri Kelantan. Tuntutan royalti ini adalah termaktub di dalam Perjanjian Petroleum Kelantan bertarikh 9 Mei 1975 di antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Petronas mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974, yang dianggarkan sudah mencecah RM12 bilion.

Malah beliau sendiri hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Ogos 2010 untuk memfailkan writ saman terhadap Petronas bagi menuntut tunggakan royalti minyak yang tidak dibayar kepada kerajaan Negeri Kelantan. TGNA dilaporkan berkata, “Sebagai ketua kerajaan negeri, saya bertanggungjawab untuk menjaga kehormatan harta negeri Kelantan, kedatangan saya hari ini adalah untuk menuntut hak dan menjaga kehormatan harta kita. Apa yang saya lakukan ini adalah untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Kelantan, jadi saya perlu lakukan apa jua cara sama ada melalui rundingan atau mahkamah”.

Usaha ini turut disokong oleh Tuanku Sultan Kelantan yang bertitah ketika merasmikan Sidang DUN Kelantan pada 16 Jun 2013, “Pada masa yang sama Beta memohon Kerajaan Persekutuan menyelesaikan isu tuntutan bayaran tunai royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri mengikut perjanjian yang telah ditandatangani”.

Usaha ini masih menjadi warisan untuk terus diperjuangkan oleh kepimpinan dan rakyat Negeri Kelantan.

PENUTUP

Penulisan ringkas ini diharapkan dapat memberikan gambaran terhadap falsafah dan pemikiran ekonomi TGNA sepanjang pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar Negeri Kelantan (1990-2013), di samping sebagai manifestasi legasi seorang ulama yang juga pemimpin yang berjaya membuktikan bahawa tiada pemisahan dalam agenda pembangunan material dan spiritual, atau dalam erti kata lain, tiada pemisahan dalam urusan duniawi (politik) dan ukhrawi (agama).

Kebaikan yang bertambah-tambah, itulah Barakah, dan inilah kekuatan ekonomi Kelantan, semasa dan selepas, pentadbiran Al-Marhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Negeri Kelantan (1990-2013). – HARAKAHDAILY 20/2/2015

Penulis adalah Pengarah Kajian Polisi DPPM

Share on Myspace