Multaqa Ulamak Semalaysia II berlangsung esok

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

MULTAQA Ulamak Semalaysia adalah medan pertemuan para Alim Ulama dalam PAS bagi mengukuhkan gerak kerja kepartian dan memaksimakan tugasan ahli-ahli ilmu dalam PAS. Ia menjadi medium untuk Alim Ulama menyampaikan pandangan mereka menerusi peluang berbahas mewakili negeri-negeri. Ia juga ruang untuk ahli mendapatkan pencerahan dan maklumat dalam pelbagai isu semasa yang melingkari perjuangan. Dewan Ulamak PAS Pusat selaku dewan kanan yang berperanan menasihati parti berkewajipan dalam setiap masa dan keadaan menjadi benteng kepada keaslian perjuangan PAS.

Akhiran ini dasar Kepimpinan Ulama yang menjadi teras kekuatan PAS dan telah dilembagakan dalam perlembagan PAS cuba disabotaj, dirungkai dan dipertikaikan. Ahli-ahli PAS pasca reformasi 98 mempunyai pelbagai recam aliran pemikiran dan kecenderongan yang membawa kepada bibit perpecahan. Serangan terhadap Majlis Syura Ulamak dan juga terhadap Presiden PAS sendiri jika tidak dibendung bakal membawa kepada kehancuran PAS. Maka Multaqa Ulama kali ini membawa tema Istiqamah dengan Kepimpinan Ulamak menerusi ucaptama Datuk Ahmad Yaakob dan ulasan oleh Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Ucapan perbahasan oleh wakil-wakil daripada Dewan Ulamak Negeri, Ulamak Pelapis dan Alimat akan merimbunkan lagi perbincangan.

Walak sebahagian ahli PAS telah mula beralih daripada PAS kepada Pakatan Rakyat sedangkan syarat Tahaaluf Siyaasi yang telah digariskan oleh MSU ialah walak hanyalah kepada Parti Islam. Ketaatan yang wajib kepada ketua dalam Islam selagi tidak bercanggah dengan syarak iaitu Presiden PAS dalam konteks PAS telah cuba dilanggar dan diengkari oleh segelintir pemimpin dan ahli. Untuk itu tajuk Walak dan Ketaatan menjadi sebahagian kertas pembentangan dalam Multaqa nanti.

Ahli-ahli PAS sudah mula terpikat dengan pemikiran sosialis atau liberal atau kapitalis dalam menangani permasalahan ekonomi negara. Ada yang menerima GST sebagai sistem percukaian. Maka ahli perlu diperingatkan tentang penyelesaian Islam dalam realiti krisis ekonomi bernegara menerusi kerta kerja Krisis Ekonomi Negara; Solusi Urus Tadbir Islam yabg akan dibentangkan oleh Ustaz Nazri Chik, Setiausaha  Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ustaz Zaharuddin Mohamad AJK Dewan Pemuda Malaysia yang kedua-duanya mempunyai kepakaran di bidang kewangan Islam.

Gerakan Islam berhadapan dengan fenomena Post Islamisme khususnya pasca Arab Spring. Pemikiran liberal dan sekular mula meresap masuk perlahan-lahan ke dalam batang tubuh gerakan Islam atas nama bertolak ansur dan keterbukaan. Isu ini akan diselusuri oleh pakar bidang iaitu Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Prof Dr Badruzaman Yusof menerusi tajuk Gerakan Islam Pasca Arab Spring.

Strategi kemenangan gerakan Islam mula ditinjau pada sudut pandang barat dan pemikiran sekular. Keimanan tidak menjadi teras pembentukan strategi. Maka ahli dan pimpinan perlu diperingatkan dengan sumber Sirah Rasulillah SAW sebagai panduan merancang strategi gerakan Islam menerusi topi Fiqh Siyaasah Dalam Sirah Nabawiyyah oleh Ustaz Nik Abduh dan Ust Abdullah Husin.

Pemimpin-pemimpin senior mempunyai pengalaman yang tidak ditemui dalam pembacaan buku dalam menggerakkan PAS. Justeru, Multaqa menampilkan wasiat pimpinan oleh Dr Abdul Aziz Hanafi, Ust Hashim Jasin dan Tuan Guru Hj Baqi Osman.

Seterusnya Multaqa akan ditutup penggulungannya oleh Tuan Guru Datuk Dr. Harun Din sebagai satu amanat perjuangan buat para Alim Ulamak dan ahli PAS.

Ringkasan programnya adalah seperti berikut;

MULTAQA ULAMAK SEMALAYSIA II (MUS II)

Sabtu 21 Feb 2015 (8 pg - 6 ptg)

Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya, Selangor

Tema : "TERUS BERISTIQAMAH BERSAMA KEPIMPINAN ULAMAK”

UCAPAN & PEMBENTANGAN

1. Tuan Guru Dato' Dr Harun Din
2. YAB Ustaz Dato' Hj Ahmad Yaakob
3. YB Dato' Mohd Amar bin Nik Abdullah
4. Tuan Guru Hj Hashim Jasin
5. Tuan Guru Dr Aziz Hanafi
6. Tuan Guru Hj Baqi Osman
7. Tuan Guru Dato' Dr Mahfouz Mohamad
8. Dato' Nik Zawawi Hj Soleh
9. YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
10. Ust Nazri Chik
11. Ust Zaharuddin Mohamad
12. YB Ust Nik Abduh Nik Abdul Aziz
13. YB Ust Abdullah Husin
14. Prof Dr Badruzzaman Yusof
15. Dr Mohd Zuhdi Marzuki
16. Hj Razman Zakaria

Antara Topik Pembentangan

1. Walak & Ketaatan dalam Parti Islam
2. Krisis Ekonomi Negara; Solusi Urus Tadbir Islam
3. Gerakan Islam Pasca Arab Spring
4. Fiqh Siyaasah Dalam Sirah Nabawiyyah

Justeru, seluruh Alim Ulama dan Ahli diseru untuk hadir bersama beramai-ramai esok sabtu 21hb februari 2015 bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang di Stadium Tertutup Serdang Jaya bagi memperkukuhkan saf perjuangan berteraskan Kepimpinan Ulama. - HARAKAHDAILY 20/2/2015

Penulis ialah Pengarah Multaqa Ulamak Semalaysia PAS

Share on Myspace