Najib tidak perlu risau jika Sirul dedah - Mahfuz

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak perlu risau jika  Koperal Sirul Azhar Umar ingin membuat pendedahan berhubung pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar pada sidang media berkata Sirul tidak pernah menyebut nama Najib sepanjang beliau ditahan, sebaliknya hanya berkata beliau hanya menjalankan arahan.

"Sungguh menghairankan apabila Najib memberi respon dengan mengatakan pendedahan Sirul berkenaan kes Altantuya mengarut.

"Mengapa perlu dia membuat kenyataan sedemikian rupa, Sirul tidak pernah menyebut nama beliau dan sepatutnya Najib tidak perlu gelisah," katanya di Pejabat Agung PAS hari ini.

Mahfuz turut berpendapat, sewajarnya Najib menyatakan pendirian untuk menyiasat semula kes tersebut apabila Sirul berani untuk membuat pendedahan.

"Kita tidak boleh menafikan kebarangkalian Sirul sudah berani membuat pendedahan itu kerana dia berada di luar cengkaman dan tekanan yang diberikan oleh pihak berkuasa di Malaysia.

"Pihak berkuasa wajar menyiasat kembali kes ini berpandukan kenyataan Abdul Razak Baginda yang mengatakan kes ini hanyalah kes biasa yang sengaja disensasikan sedangkan pada masa yang sama beliau mengaku mengenali dan pernah diugut oleh Altantuya atas sebab peribadi," kata beliau lagi.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut memetik kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang berkata hanya suspek utama yang tahu motif kes ini tetapi sudah pun dilepaskan.

"Kes ini sewajarnya disiasat semula dengan mengambil kira apa yang didedahkan Sirul serta kenyataan Razak serta Musa.

"Sirul juga mendakwa ‘orang penting yang mempunyai motif masih bebas’ dan dia hanyalah menjadi mangsa kambing hitam.

"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat wajar menyiasat  dahulu kesahihan apa yang dikatakan Sirul ini sebelum terus menafikan sebegitu sahaja demi mempertahankan imej ketelusan dan keberanian PDRM untuk bertindak tanpa memilih bulu," sambung beliau lagi.

Mahfuz meminta agar pihak polis menghantar pegawai penyiasat ke Australia tanpa menunggu Sirul dibawa pulang ke negara ini bagi membuka semula kertas siasatan.

Beliau turut menegaskan agar Perdana Menteri dapat membuat gesaan agar kes ini disiasat dan dibicarakan kembali demi menegakkan keadilan dan mengelakkan penindasan kepada pihak yang di bawah. – HARAKAHDAILY 20/2/2015

Share on Myspace