PMUKM sedia bincang jayakan debat Hanipa-Shafee

MUHAMMAD SALLEHUDIN KHALID | .

KENYATAAN yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen PAS Mohamed Hanipa Maidin juga inginkan debat terbuka tersebut dijalankan di universiti awam dan disiarkan langsung di RTM atau TV3 supaya rakyat mendapat maklumat tentangnya.

Dipetik kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selepas itu juga turut menyatakan bahawa beliau bersedia menyediakan platform untuk sesi debat terbuka antara Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Pemuda Umno Khairy Jamaludin dengan pihak yang mempertikai keputusan kes liwat ini.

Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) berbangga dan bersetuju dengan tindakan pemimpin-pemimpin negara yang berani dan memberi kerjasama dalam menjelaskan isu liwat ini.

Hal ini kerana, sejarah zaman 60-an telah membuktikan bahawa mahasiswa sering mengadakan diskusi, seminar yang membincangkan soal politik, ekonomi dan sosial di mana dibincangkan bersama tokoh-tokoh politik dan pensyarah.

Namun, PMUKM menyedari bahawa hakikatnya dalam kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak jelas dengan kes Anwar yang melibatkan keadilan dalam sistem institusi kehakiman negara.

Dengan itu, PMUKM sedia menawarkan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai tempat bagi menjalankan perdebatan secara terbuka dan ilmiah supaya hasrat pelbagai pihak tercapai.

Mahasiswa dan universiti berkisar dengan elemen intelektualisme, maka PMUKM berharap dengan mengadakan debat ini mampu menghidupkan kembali pembudayaan ilmu, memberi kebebasan berakademik serta dapat memberi penerangan kepada pelbagai pihak.

Justeru, PMUKM bersedia berbincang dengan pihak terlibat bagi menjayakan perdebatan terbuka ini.

Hal ini kerana, mahasiswa bukan dipengaruhi oleh mana-mana parti politik. Mahasiswa mempunyai idealisme, aktivisme dan intelektualisme.

Justeru, sekiranya Anwar didapati bersalah dengan fakta dan hujah yang kukuh mahasiswa ada hak untuk menilainya secara adil.

Mahasiswa mahu rakyat negara ini mendapat maklumat secara langsung daripada panel supaya tidak berlaku putar belit fakta di kemudian hari.

Akhirnya, PMUKM dengan yakin dan bersedia agar hasrat ini berjaya dilaksanakan kerana keputusan hari ini memusnahkan keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

Adakah yang diliwat ialah Saiful? Atau sistem kehakiman Malaysia yang diliwat oleh Umno?Jawapan ini bakal dijawab pada perdebatan nanti dan percayalah bahawa rakyat mampu menilai. - HARAKAHDAILY 20/2/2015

Penulis ialah Yang Dipertua PMUKM 2014/2015

Share on Myspace