UTHM bina telaga tiub untuk mangsa banjir Kelantan

MOHAMAD BAKRI DARUS | .

TANAH MERAH: Prihatin dengan nasib mangsa banjir di Kelantan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) tampil membina telaga tiub untuk membekalkan air bersih kepada penduduk di Kampung Kusial Baru di sini.
    
Penduduk kampung itu menghadapi gangguan bekalan air bersih akibat bencana itu Disember tahun lepas, apabila loji bekalan air bersih kendalian syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) terjejas.
    
Telaga tiub yang dibina sedalam 13.7 meter di surau Perumahan Kusial Baru dengan kapasiti pengeluaran air antara 28 hingga 32 liter seminit, mampu memenuhi keperluan lebih 1,200 penduduk setempat.
    
Anggota Lembaga Pengarah UTHM Datuk Seri Sufri Mohd Zin berkata pihak universiti telah menggembleng sumber manusia yang mempunyai pengalaman kepakaran dalam bidang kejuruteraan awam untuk membina telaga tiub berkenaan.
    
Beliau berkata Kampung Kusial Baru dipilih berikutan hasil kerja geofizik yang dilaksanakan mendapati kawasan kampung ini mempunyai potensi air bumi yang boleh dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
    
"Gerak kerja untuk membina telaga tiub ini memerlukan beberapa ujian termasuk ujian kualiti air bagi memastikan air yang terhasil daripada sumber bumi ini selamat digunakan tanpa mendatangkan ancaman kepada kesihatan," kata Sufri.
    
Pembinaan telaga tiub di kampung itu adalah antara beberapa telaga tiub yang dibina UTHM untuk membekalkan air bersih kepada penduduk di negeri Pantai Timur yang terjejas akibat banjir hujung tahun lepas.
    
UTHM turut menghulurkan sumbangan lain seperti bekalan makanan serta menyediakan sukarelawan untuk kerja pembersihan kemudahan seperti sekolah.
    
"Diharap jalinan kerjasama ini akan berterusan dan mungkin lebih ramai anak muda di kampung ini boleh melanjutkan pengajian mereka di UTHM," katanya.
    
Sementara itu, UTHM menerusi Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar bercadang menjadikan Kampung Kusial Baru sebagai kampung angkat dengan melaksanakan pelbagai program kepada penduduk.
    
Ia termasuk penglibatan pelajar fakulti itu dalam aktiviti khidmat masyarakat merangkumi pertukaran pengetahuan, program motivasi kepada pelajar sekolah rendah dan menengah, program anak angkat, program pembersihan kawasan serta baik pulih dan keceriaan tadika, madrasah dan rumah.
    
Staf dan pelajar fakulti itu juga akan melakukan kajian mengenai persiapan menghadapi banjir selain mengadakan ceramah motivasi untuk mengembalikan semula kekuatan dan semangat penduduk yang mengalami kerosakan serta kehilangan rumah dalam kejadian banjir.
    
Rata-rata penduduk yang ditemui menyambut baik usaha UTHM untuk menyediakan bekalan air bersih serta sumbangan lain bagi meringankan beban mereka dalam menghadapi pasca banjir.
    
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Kusial Baru, Mohd Napi Md Ali berkata pembinaan telaga tiub itu amat bermakna buat masyarakat berikutan bekalan air AKSB kerap terputus.
    
"Penduduk hanya perlu membawa tong atau baldi untuk mengambil air secara percuma pada bila-bila masa. Air di sini jernih dan terjamin dari segi kebersihan dan kualitinya," katanya kepada Bernama.
    
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak universiti atas pembinaan telaga tiub dan kesediaan institusi itu menjadikan kampung berkenaan sebagai anak angkat.
    
Seorang lagi penduduk, Mohd Nor Salleh, 71, yang juga anggota jawatankuasa surau di kampung itu, berkata pembinaan telaga tiub itu akan membantu penduduk menghadapi musim kemarau akan datang.
    
Dalam kejadian banjir Disember lepas, kampung berkenaan dan kawasan berhampiran dinaiki air setinggi kira-kira lapan meter sehingga menenggelamkan banyak rumah. - BERNAMA

Share on Myspace