Sambung perjuangan Tuan Guru tegak Islam

| .

 

KUALA LUMPUR: Usaha mengembangkan dan menyambung perjuangan Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah lebih penting daripada berkempen gelaran dan pangkat untuknya.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri tidak pernah mengejar kemasyhuran gelaran dunia sewaktu hayatnya.

“Apa yang perlu dilihat dan disambung adalah perjuangannya yang kental dalam menegakkan Islam di bumi Malaysia ini khususnya menuntut pelaksanaan Hudud di Kelantan.

“Apalagi, penghargaan adalah suatu pemberian dan bukannya perkara yang perlu dituntut,” katanya yang juga Adun Taman Templer kepada Selangor Kini.

Ketua Penerangan PAS Selangor itu berkata demikian ketika diminta mengulas keperluan memberi penghargaan khusus kepada bekas Menteri Besar Kelantan itu sama ada dalam bentuk gelaran dan lain-lain.

Mengulas soalan sama, Adun Paya Jaras, Khairuddin Othman bagaimanapun berpendapat penghargaan gelaran seperti ‘Tun’ boleh diberikan oleh Kerajaan Pusat.

“Secara peribadi saya setuju sebagai tanda penghormatan negara kepada Tok Guru tetapi semuanya terpulang kepada keluarga Tok Guru sama ada mahu terima atau tidak,” katanya yang juga Setiausaha PAS Selangor.

Sebelum ini, bekas Menteri Kabinet dan veteran Umno, Abdul Kadir Sheikh Fadzir mencadangkan kerajaan menganugerahkan gelaran Tun kepada Tuan Guru atas sumbangan dan khidmat bakti kepada Negeri Kelantan. - HARAKAHDAILY 21/2/2015

Share on Myspace