PAS, PR rai sambutan Tahun Baru Cina di Miri

HARAKAHDAILY | .

MIRI: Lawatan singkat Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu ke Miri baru-baru ini telah digunakan sepenuhnya untuk berkunjung ke rumah terbuka rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dari PKR, DAP dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Sarawak, Yeo Kian Leong (foto atas).

Dalam kunjungan sempena Tahun Baru Cina, beliau telah dibawa berkunjung ke rumah Ketua Pemuda PKR Miri, Steve Teo Jia Jun, Adun Piasau, Alan Ling (foto bawah) dan Madam Lim.

Antara yang hadir ialah Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid, Yang Dipertua PAS Miri, Jofri Jaraiee dan pimpinan PAS kawasan.

Menurut Jofri, walaupun ada sedikit perselisihan faham dalam soal politik tetapi pada Tahun Kambing, ia mengeratkan lagi hubungan antara parti komponen dalam Pakatan Rakyat Sarawak dan ini menunjukkan bahawa rakyat di Sarawak lebih suka hidup dalam harmoni tanpa mengira bangsa dan agama.

PAS, katanya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh masyarakat Cina walau di mana mereka berada.

"Tahun Kambing adalah tahun untuk kita sama-sama bekerja keras untuk menyatukan masyarakat Sarawak yang berbilang kaum agar dapat hidup dalam rukun dan damai.

"Budaya dan adat resam yang baik perlu dikekalkan walaupun berlainan bangsa, agama dan fahaman politik untuk kita dapat hidup bersama dengan aman dan harmoni," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 21/2/2015

Share on Myspace