Aktivis Adam, Fariz ditahan sertai perhimpunan aman

| .

 

KUALA LUMPUR: Aktivis Adam Adli dan Fariz Musa ditahan polis ketika menyertai perhimpunan keadilan untuk Datuk Seri Anwar di depan kompleks membeli-belah Sogo hari ini.

Malaysiakini melaporkan Adam ditahan kira-kira jam 5.25 petang selepas beliau berucap di depan Sogo.

Dia ditahan oleh tiga anggota polis dan dibawa ke balai polis Dang Wangi.

Ekoran itu, kira-kira 70 penyokong berhimpun di hadapan balai polis berkenaan.

Kira-kira lima minit kemudian, Adam dibawa ke balai polis Jinjang.

Difahamkan, Adam ditahan di bawah seksyen 143, Kanun Keseksaan berhubung ucapannya dalam himpunan yang sama minggu lepas.

Minggu ini merupakan minggu kedua perhimpunan ini diadakan di tempat yang sama.

Pada satu ketika berlaku pergelutan antara anggota polis dengan para penyokong ketika mereka mahu menahan Nik Nazmi yang mempertikai tindakan polis menahan Adam itu.

Bagaimanapun, pihak polis melepaskan Nik Nazmi dengan syarat para penyokong bersurai dan beredar dari situ.

Sehingga 5.50 petang tadi, masih kira-kira 20 orang di depan polis itu, termasuk bapa Adam – Abdul Halim Abdul Hamid.

Perhimpunan kali ini bermula di depan kompleks membeli-belah Sogo bermula kira-kira jam 4.50 petang.

Ia bermula dengan tarian singa keadilan yang menarik perhatian kira-kira 200 pengunjung ke pusat membeli belah itu.

Kumpulan tarian singa itu kemudiannya menyerahkan tulisan khat Cina kepada anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha.

Selain Nuha, turut hadir ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad yang berucap di depan Sogo.

Turut hadir ialah ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing.

Kelihatan kira-kira lima anggota polis beruniform di situ serta 10 orang lagi yang berpakaian biasa yang dipercayai anggota polis. - HARAKAHDAILY 21/2/2015

 

Share on Myspace