726 unit Rumah Selangorku dibuka untuk dibeli

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sebanyak 726 unit Rumah Selangorku di sembilan projek dibuka untuk dibeli oleh orang ramai iaitu baki daripada 1,683 unit yang pernah ditawarkan untuk jualan.

Pengerusi Jaeatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar A Samad berkata lokasi projek-projek itu adalah di Bandar Baru Bangi, Cheras, Taman Subang Mas, Sutera Damansara, Desa Alam U12, Antara Gapi, Cyberjaya dan Taman Emas Dengkil.

Katanya, mereka yang berminat bolehlah melayari laman web Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut.

Menurutnya, Rumah Selangorku adalah rumah mampu milik di bawah RM250,000 sebuah sementara pendapatan isirumah pembeli mestilah tidak melebihi RM8,000 sebulan.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, Rumah Selangorku adalah rumah yang wajib dibina oleh pemaju dan kerajaan negeri mensasarkan 15,000 unit dibina dalam tahun ini.

"Sasaran keseluruhan adalah 35,000 unit mula dibina atau siap dibina menjelang 2018. Sebanyak 8,402 unit akan dilancarkan selewat-lewatnya bulan April ini," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 21/2/2015

 

Share on Myspace