Berapa ramai anak menteri belajar di luar negara?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng sukar mempercayai kenyataan kononnya mutu pendidikan tinggi negara sudah setaraf negara maju seperti United Kingdom, Jerman dan Australia.

Justeru, Lip Eng menggesa Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh untuk menunjukkan bukti-bukti bagi menyokong dakwaan tersebut, termasuk hasil penilaian oleh institusi antarabangsa.

“Walaupun kenyataan tersebut dihujani komen negatif dan sinis, saya sebaliknya benar-benar teringin mahu percaya.

“Saya mahu percaya bahawa Idris Jusoh bukan sekadar berjenaka, walaupun seluruh warga internet menyambut kenyataannya dengan gelak ketawa,” ujarnya dipetik Roketkini.

Beliau juga meminta Idris mengemukakan penilaian oleh institusi antarabangsa untuk menunjukkan bahawa universiti tempatan berada di kedudukan yang sama dengan universiti di UK, Jerman dan Australia.

Ini kerana, katanya ranking QS World University 2014 menunjukkan Malaysia masih jauh ditinggalkan institusi pengajian tinggi di United Kingdom dan Australia.

Menurutnya, 19 universiti UK berada dalam ranking 100 teratas, tetapi menurut ranking tahunan itu, hanya Universiti Malaya yang layak berada dalam kedudukan 200 teratas, itu pun pada tangga ke 151.

“Kedua, saya minta kesemua 35 menteri Kabinet mendedahkan di mana anak-anak mereka melanjutkan pelajaran tinggi. Ke universiti awam tempatan atau universiti asing?” tanya beliau.

Kata Lip Eng lagi, sekiranya Idris gagal mengemukakan dua bukti ini, menteri tersebut tidak mempunyai pilihan kecuali meminta maaf serta menarik balik kenyataannya itu.

“Saya mahu percaya bahawa Idris Jusoh tidak sekadar syok sendiri, atau syok bersama rakan-rakan jemaah menteri,” katanya.

Share on Myspace