Institusi pendidikan tahfiz tidak sebar ideologi IS

AHMAD MULIADY ABDUL MAJID | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS) menolak sekeras-kerasnya tanggapan kononnya institusi pendidikan tahfiz di Selangor terlibat secara langsung dalam penyebaran ideologi jihad militan IS di negara ini.

Pengerusinya Ustaz Ashri Lateh Al-Muqril berkata 160 buah sekolah tahfiz yang berdaftar di negeri itu tidak pernah memberi galakan kepada pelajar mereka untuk menyertai mana-mana kumpulan militan termasuk IS (Islamic States).

"Kumpulan militan itu bukan hanya bercanggah dengan falsafah pendidikan tahfiz malah terpesong jauh dari ajaran agama Islam sebenar," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah sekolah tahfiz itu, 130 buah dengan bilangan pelajar kira-kira 10,000 orang bernaung di bawah PITAS.

Sekolah berkenaan menggunakan sukatan pelajaran yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Pendidikan tahfiz berteraskan tauhid bagi membina dan melahirkan insan 'Rabani' yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.

"Selain berkemampuan membentuk kehidupan diri sendiri, masyarakat, negara dan dunia sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

"Jihad dalam aliran tahfiz tidak sampai kepada tahap memikul senjata dan keluar berperang.

"Sebaliknya menuntut ilmu yang berguna seperti ilmu menghafal Al-Quran yang merupakan jihad yang lebih besar pada dunia akhir zaman ini," kata Ashri.

Ashri berkata kes membabitkan seorang pelajar tahfiz berusia 14 tahun ditangkap dalam perjalanan menyertai jihad IS di Syria baru-baru ini adalah bersifat individu serta terpencil dan tidak mencerminkan seluruh pelajar tahfiz di Selangor ataupun di negara ini.

"Saya terkejut apabila membaca berita seorang pelajar tahfiz perempuan ditangkap polis apabila cuba berjihad ke Syria dan ini adalah kes pertama melibatkan pelajar aliran tahfiz.

"Saya percaya bahawa pelajar terbabit terpengaruh dengan dakyah IS ketika berada di luar sekolah atau pada waktu cuti kerana kebanyakan sekolah tahfiz tidak membenarkan pelajarnya melayari internet walaupun kami ada menyediakan kelas komputer," katanya.

Gadis berkenaan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL Rabu lepas disyaki cuba menyertai kumpulan militan IS di Syria.

Gadis yang berasal dari Muar, Johor itu adalah pelajar pengajian agama di sebuah institut tahfiz di Shah Alam.

Ashri berkata isu gadis itu akan dibincangkan pada mesyuarat agung PITAS bulan depan bagi mencari jalan untuk menyekat fahaman IS dari terus menular dan meracuni pemikiran pelajar tahfiz.

"Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga...kita perlu ambil langkah pencegahan awal bagi memastikan perkara ini tidak terus berlaku," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan berbincang dengan JAIS. - Bernama

Share on Myspace