Pertimbangan antara dua perkara negatif

NASRUDIN HASSAN | .

APABILA telah berlaku dua perkara negatif yang memerlukan kita mengambil sikap terhadap keduanya, maka pastinya kita diajar oleh syarak untuk menilai timbang kesan negatif dari keduanya terlebih dahulu sebelum memutuskan sikap yang muktamad terhadapnya. Kaedah biasa digunakan untuk tawaazun (menimbang kedudukan) ialah "mudharat yang kecil (ringan) didahulukan keatas mudharat yang besar (berat)".

Situasi ini pernah dihadapi oleh Nabi s.a.w. apabila Baginda s.a.w. berdepan dengan 2 perkara negatif iaitu:

Situasi i - ancaman dan tekanan musuh yang memalingkan umat dari agama dan perjuangan.

Situasi ii - peperangan yang berlaku dan melibatkan para sahabat radiallahuanhum pada bulan yang diharamkan berperang.

Allah SWT memutuskan sikap syarak terhadap dua situasi tersebut dengan firmanNya:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ وَصَدٌّ
عَن سَبِيلِ اللَّهِ وَكُفْرٌ بِهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِ مِنْهُ أَكْبَرُ عِندَ اللَّهِ وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang diharamkan berperang; katakanlah: "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalang perjuangan Fi Sabilillah dan perbuatan kufur kepadaNya juga perbuatan menyekat (orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang diharamkan berperang). (Surah Al-Baqarah: 217)

Kita perlu berhati-hati agar tidak teralih fokus dan salah memandang. Kita perlu bijak menilai. Saya pernah diajar oleh seorang guru di sekolah yang telah membuat satu titik putih dengar kapur tulis di sebuah papan hitam.

Lalu bertanya kepada saya, sekarang apa yang kamu nampak di hadapan? Lalu saya penuh yakin dan muktamad mengatakan "saya nampak satu titik putih". Lalu sang guru meningkah, inilah masalah kamu! Papan hitam sebegini besar kamu tak nampak , titik putih yang kecil ini juga yang kamu nampak!

Saya ditingkah sedemikian sewaktu usia 15 tahun. Sehingga hari ini, ia meninggalkan kesan dalam diri saya. Terutama apabila saya saksikan betapa ramai hari ini masyarakat hanya nampak "titik putih" itu tetapi tidak nampak atau buat-buat tidak nampak terhadap "papan hitam" yang sedemikian besar terpampang dihadapan.

Realiti ini memudahkan pihak tertentu khasnya musuh kita manipulasikan situasi agar kita tidak nampak "papan hitam" yang menghadang di hadapan sebaliknya hanya membicarakan "titik putih". Siapa yang buat titik putih ini? Kenapa "titik putih" ini dibuat? Bla...bla...bla...

Persoalannya, kenapa tidak nampak "papan hitam" itu atau sengaja tidak mahu berbicara mengenai "papan hitam"? Atau apa sebenarnya di sebalik "papan hitam" itu? Atau memang ada pihak mahu mengalih pandangan dari bercakap mengenai "papan hitam" tersebut?

Akhirnya...kisah "papan hitam" ini semakin menarik malah jauh lebih besar persoalannya dari sekadar "titik putih". - HARAKAHDAILY 23/2/2015

Penulis ialah Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat.

Share on Myspace