Kontrak pemilik batal jika sewa PPR pada warga asing

SALMIYAH HARUN | .

 

KUALA LUMPUR: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) digesa mengambil tindakan tegas terhadap dakwaan terdapatnya warga asing yang menyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Permai Lembah Subang.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, Datuk Iskandar Samad akan turut mengarahkan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi menyiasat aduan ini dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya ia adalah benar.

Beliau berkata demikian setelah dihubungi media yang mendakwa terdapat warga asing dari Indonesia dan Bangladesh menyewa di PPR di taman tersebut.

"PPR tersebut adalah rumah sewa dan diuruskan oleh MBPJ. Terdapat tiga PPR lain di Selangor iaitu di Kota Damansara, Hicom Shah Alam dan Lembah Subang. Ketiga-tiga PPR itu diuruskan oleh Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS)," tulis beliau di Facebooknya.

Tegas beiau, PPR hanya disewakan kepada warga negara Malaysia, tetapi sekiranya rumah tersebut disewakan kepada pihak ketiga (sewa atas sewa) adalah tidak dibenarkan walaupun kepada rakyat Malaysia.

Terdapat kes di mana kontrak penyewa asal dibatalkan kerana menyewakan kepada pihak ketiga.

Sewa bulanan rumah PPR adalah RM250 sebulan dan bagi mereka yang berpendapatan RM1,500 ke bawah adalah RM124 sebulan. Sewa rumah yang sama di luar adalah di antara RM400 hingga RM600 sebulan.

Lif dan pam tangki air PPR Kota Damansara dan Lembah Subang telah baik pulih dalam tahun 2010 dengan kos melebihi RM2.5 juta oleh MBPJ.

RM5 juta telah diperuntukkan pada Belanjawan Kerajaan Negeri 2015 untuk membaikpulih PPR Kota Damansara. PPR Hicom pula sedang dicat semula oleh LPHS.

"Senarai menunggu untuk menyewa rumah PPR adalah panjang dan adalah tidak adil untuk menyewakannya kepada warga asing," tegasnya. – HARAKAHDAILY 23/2/2015

Share on Myspace