Khairy wajar henti jelajah, tumpu cabaran negara

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

KHAIRY Jamaluddin dan Pemuda Umno sepatutnya berhenti meneruskan program jelajah untuk menyerang dan menyelar Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dihukum 5 tahun penjara atas tuduhan liwat yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Keputusan mahkamah tersebut telah dikritik keras oleh pelbagai organisasi hak manusia dan beberapa kerajaan negara di peringkat antarabangsa. Ramai yang telah mengkritik pendakwaan ke atas Anwar atas tuduhan liwat kerana melihatnya sebagai tuduhan yang bersifat politik untuk melemahkan pihak pembangkang.

Pemuda Umno mendakwa siri jelajah tersebut bertujuan untuk menerangkan keputusan mahkamah dan menjawab tuduhan bahawa pemimpin Umno berkonspirasi untuk menjatuhkan Anwar dalam pembicaraan yang dijalankan. Keputusan mahkamah yang dikeluarkan telah tersebar secara meluas dalam media cetak dan elektronik. Oleh yang demikian, persoalannya untuk apa penerangan itu mahu disampaikan kepada publik dalam bentuk yang sedang dilakukan oleh Umno dan badan-badan yang sealiran dengannya?

Dalam forum pertama yang diatur oleh Khairy di Kelana Jaya, Malaysiakini melaporkan: “…kes Liwat II telah bertukar kepada penerangan yang bersifat sangat lucah oleh pendakwa Muhammad Shafee Abdullah sehingga beliau mendedahkan maklumat terperinci yang tidak dibentangkan dalam Mahkamah terbuka sepanjang 7 tahun pembicaraan kes tersebut berjalan".

Adakah ini bertujuan menerangkan kepada publik atau untuk memburukkan reputasi Ketua Pembangkang itu yang kini merengkok dalam penjara dan tidak berpeluang membela dirinya?

Asasinasi atau membunuh personaliti Anwar diforum itu, tanpa Anwar berpeluang membela diri, sangat menjijikkan, sama sekali tidak beretika, tidak Islamik dan pengecu. Serendah manakah seseorang itu  sanggup menghumban dirinya  dengan cara mengada serangan sebegini? Jelajah tersebut menunjukkan sejauh ini Khairy dan Shafee terputus dari ajaran Islam yang menyebabkan mereka berdua hilang pedoman moral.

Dalam perundangan Islam, seorang yang menuduh seorang yang lain melakukan perbuatan homoseksual mesti membawa 4 orang saksi terhadap perlakuan tersebut, jika ia gagal membawa saksi tersebut, dia akan dihukum dengan sebatan dan dilabel sebagai fasik. Perhatikan amaran Al-Quran mengenai qazaf, yang membabitkan seorang yang menuduh orang lain melakukan zina atau liwat.

 “Orang yang melemparkan tuduhan (zina atau liwat) kepada perempuan (atau lelaki) yang terpelihara kehormatannya kemudian mereka tidak membawakan empat saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan dan janganlah kamu menerima penyaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang yang fasik.” (Surah An-Nur: 4)

Juga, memburuk dan menyelar seseorang itu adalah satu dosa dan seorang Muslim yang terlibat dengan tindakan tersebut, walaupun mengetahui ajaran Islam mengenai hal itu, adalah dianggap seorang munafik, seorang hipokrit.

Perhatikan sekali lagi implikasi dari ayat Al Quran: "Wahai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan (terhadap sesama Muslim), kerana sebahagian sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari aib orang dan jangan pula sesetengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu, bahawa dia memakan daging saudaranya yang telah mati (bangkai)? Maka tentu kamu benci untuk memakannya. Takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujuraat ayat 12)

Mengenai berita benar atau palsu yang disebarkan tanpa kebenaran, Rasulullah bersabda bermaksud: “Adakah kamu mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Lalu Baginda meneruskan sabdanya: “Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya.” Lalu ditanya oleh seorang sahabat: “Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?” Rasulullah bersabda: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah).

Politik liwat telah berada di persada politik negara sejak 16 tahun yang lalu. Pada 1998, kerana khuatir kepimpinannya akan dicabar, Dr Mahathir, bukan sahaja telah memecat Anwar akan tetapi menuduh Anwar dengan sejumlah dakwaan yang sama termasuk liwat, hubungan seks haram dan juga tuduhan Anwar sebagai agen Amerika. Dalam beberapa bulan yang terkini, Mahathir membela Anwar terhadap tuduhan yang dilemparkan oleh musuh-musuhnya. Perubahan sikap dan pemikiran Mahathir yang terbaru terhadap Anwar, setakat ini tidak dijelaskan.

Anwar dihukum atas dakwaan menyalah guna kuasa, liwat dan dijatuhkan hukuman penjara dalam tempoh yang lama. Ketika Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri, Mahkamah Agung telah membatalkan hukuman liwat dan membebaskan Anwar.

Anwar kembali aktif dalam politik dan berjaya menubuhkan Pakatan Rakyat (PR), sebuah gabungan parti PKR, PAS dan DAP, yang dianggap hampir mustahil oleh banyak pihak. PR telah merubah senario politik negara dengan menawan 3 kerajaan negeri selain Kelantan pada pilihan raya umum 2008 dan ini telah mengejutkan seluruh negara.

Mereka yang bertanggungjawab dengan politik liwat dan asasinasi keperibadian Anwar seharusnya menilai betapa imej masyarakat Melayu telah mereka rosakkan dan akibatnya keruntuhan akhlak generasi muda semakin berleluasa. Masyarakat Melayu kini dilihat sebagai masyarakat yang tidak ada kerja lain selain terlibat dengan politik liwat dan asasinasi karakter pemimpin-pemimpin yang mahu membawa perubahan. Kekayaan yang disonglap untuk kegiatan tidak bermoral dan tidak Islamik sepatutnya digunakan untuk mengatasi pelbagai masalah yang sedang dihadapi oleh masyarakat Melayu.

Seks haram dan liwat, yang sebelum ini adalah maudhu' yang sangat malu diungkap di kalangan masyarakat, kini menjadi kata-kata dianggap biasa, remeh dan menjadi perbualan di kalangan ahli keluarga, malah menjadi topik jenaka akibat publisiti berleluasa oleh media bila pembicaraan liwat dan penyebaraan bahan lucah yang diolah secara palsu melibatkan Anwar disebar sendiri oleh para politikus yang menggelar diri mereka Muslim.

Sejak hari pertama, Anwar telah menafikan tuduhan jenayah terhadapnya dan menegaskan bahawa kerajaan memalsukan bukti sebagai sebahgian dari konspirasi politik untuk menghapuskan masadepan politik Anwar. Anwar mengangkat isu konspirasi politik di sepanjang pembicaraan tetapi tidak pernah disiasat.

Kebanyakan warga masyarakat awam, kerajaan-kerajaan negara luar dan badan hak manusia antarabangsa serta sebahgian ulama tersohor mempercayai dakwaan Anwar. Ini dapat dilihat sokongan yang semakin meningkat terhadap Anwar serta sambutan rasmi yang diberi kepada Anwar oleh pemimpin dunia seperti Presiden Turki, Tayyeb Erdogan, seorang Muslim yang sangat beriltizam.

Satu cara sahaja untuk menyelesaikan isu ini, yang kini telah melakarkan imej yang buruk terhadap Malaysia dan perpecahan yang mendalam di kalangan komuniti Melayu iaitu bukan dengan cara jelajah asasinasi peribadi tetapi dengan cara mengadakan siasatan awam yang bebas terhadap dakwaan Anwar bahawa wujud konspirasi politik.

Cukuplah. Hentikan politik liwat yang jijik ini dan tumpu kepada cabaran-cabaran lebih utama yang sedang kita hadapi iaitu ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan alam sekitar. - HARAKAHDAILY 23/2/2015

Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Share on Myspace