SPRM: Wakil PAS akan sokong pindaan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat PAS Kelantan akan menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan aspek penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai dan pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pendirian ini dilahirkan oleh Timbalan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan sewaktu Program Keterlibatan Strategik  bersama pemimpin tertinggi politik dan sesi taklimat khas kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS dan PKR dalam usaha meningkatkan kerjasama dan sokongan pelbagai pihak ke atas usaha pencegahan rasuah khususnya kepada kepimpinan politik tertinggi di negeri Kelantan.

Pertemuan yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan semalam turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Zakaria Jaffar dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Seramai 16 Adun dan seorang Ahli Parlimen PAS hadir pada pertemuan itu, juga hadir bersama Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Abdul Aziz Aban.

Takiyuddin yang juga ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yakin pembentukan suruhanjaya perkhidmatan khas akan memperbaiki persepsi orang ramai mengenai kebebasan SPRM.

Tambahnya, cadangan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM ini telah dipersetujui oleh ketiga-tiga wakil ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah termasuklah wakil DAP dan PKR.

"Ini perlu kerana SPRM satu-satunya jabatan yang besar dan memerlukan suruhan jaya bagi pelantikan ketua.

"Untuk melantik hakim hendaklah melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan dan untuk melantik guru, mereka ada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan tetapi (dengan pindaan ini) SPRM diharap menjadi badan (lebih) bebas," katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pertemuan itu merupakan program untuk wakil rakyat PAS iaitu Ahli Parlimen dan Adun di Kelantan.

Katanya, tujuan SPRM berdialog dengan wakil rakyat bagi mendapatkan sokongan setiap Ahli Parlimen  apabila pindaan ini dibawa ke Parlimen selepas ini. Pindaan itu memerlukan sokongan dua pertiga anggota Dewan Rakyat.

Sementara itu, Zakaria menjelaskan syor mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai SPRM dan aspek pelantikan Ketua Pesuruhjaya.

"Dua cadangan tersebut memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Pelantikan Ketua Pesuruhjaya ini untuk menjadikan SPRM benar-benar bebas, telus dan profesional dalam melaksanakan tugas diberikan.

"Pertemuan ini untuk menjelaskan cadangan tersebut. Insya-Allah, selepas ini kami akan mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat BN," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, cadangan tersebut telah diutarakan sejak tahun 2009 oleh Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang dibarisi oleh Ahli Parlimen, dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, SPRM.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kelantan menyifatkan pertemuan tersebut sebagai sesuatu yang konstruktif kerana wakil rakyat yang hadir melahirkan sokongan ke atas pindaan yang dicadangkan.

"SPRM gembira dengan hasil pertemuan hari ini. SPRM akan mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat BN dan Umno pada 24 Februari ini," katanya lagi.

Ini merupakan pertemuan pertama bersama pemimpin politik di Kelantan pada tahun ini. Satu pertemuan bersama wakil rakyat Umno Barisan Nasional Kelantan pula akan diadakan di Kota Bharu pada 24 Februari 2015.

SPRM yakin pertemuan seperti ini penting bagi mengeratkan hubungan dan kerjasama bagi mencegah rasuah seiring dengan slogan 'Anda Boleh Melakukan Perubahan, Perangi Rasuah'. – HARAKAHDAILY 23/2/2015

Share on Myspace