Talian sesak, Sirul Azhar gagal dihubungi

MUHAMMAD FAIZAL | FOTO WAN ZAHARI | .

KUALA LUMPUR: Sidang media telesidang bersama Koperal Sirul Azhar Umar tertangguh kerana talian telefon sesak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar memberitahu beliau telah pun menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada Sirul bagi memaklumkan telesidang tersebut.

"Baru sekejap tadi saya telah menghantar SMS kepada Sirul mengatakan memaklumkan akan hubungi beliau lima minit lagi.

"Serta mengatakan nombor telefon yang saya akan guna nanti," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS pagi ini.

Mahfuz mengharapkan dengan telesidang itu untuk memberi peluang kepada pihak media di negara ini dapat mengetahui perkembangan Sirul yang kini ditahan di Australia.

"Saya sudah menjangkakan gangguan talian telefon dengan menggunakan nombor lain tetapi gangguan tetap berlaku.

"Kita akab usahakan lagi untuk menghubungi beliau dalam masa terdekat sebelum saya ke Australia nanti," kata beliau sambil menunjukkan SMS yang dihantar kepada Sirul.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut memaklumkan beliau bersama beberapa pimpinan PAS serta ibu Sirul, Piah Samad, 74, akan ke Australia minggu hadapan bagi memenuhi hasrat ibu Sirul bertemu anaknya.

"Kita tidak akan memaksa untuk Sirul membuat pendedahan nanti, tujuan kita adalah memenuhi hasrat Piah untuk bertemu anaknya sementara hayatnya masih ada.

"Kami memohon maaf atas apa yang berlaku hari ini, kita merancang tetapi kita tidak menjangkakan ada pihak yang ingin menghalang temubual kita hari ini," ujarnya pada sidang media yang dipenuhi dengan pihak media itu. - HARAKAHDAILY 23/2/2015

Share on Myspace