Sirul hargai Australia, akan dedah bila masa sesuai

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Koperal Sirul Azhar Omar hari ini memaklumkan beliau hanya menunggu masa yang sesuai untuk membuat pendedahan berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Telesidang yang berlangsung selama tiga minit di Pejabat Agung PAS turut berkata, beliau turut menghargai kerjasama Kerajaan Australia yang memberikan perlindungan kepadanya.

Sebelum itu Sirul gagal dihubungi selepas cubaan hampir sejam oleh Mahfuz. Hanya selepas berakhir sidang akhbar dan sebahagian besar wakil media beredar, barulah Mahfuz dapat menghubungi Sirul.

"Saya nak mengucapkan terima kasih kepada media di Malaysia yang telah membuat liputan mengenai saya.

"Saya juga mengucapkan terima kasih dengan Australia yang telah memberi perlindungan sepenuhnya kepada saya termasuk menyediakan tempat yang selamat dan selesa," katanya melalui telefon.

Beliau turut memaklumkan tidak berhasrat untuk membuat sebarang pendedahan sebagai menghormati Kerajaan Australia.

"Saya hormati sepenuhnya Kerajaan Australia sepanjang saya berada di bawah perlindungan mereka.

"Saya hormat dan tidak berhasrat untuk membuat pendedahan pada masa kini, walau bagaimanapun saya berusaha membuat pendedahan pada masa lain apabila sesuai," katanya yang mengakhiri perbualan tersebut.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar yang membuat panggilan tersebut berkata, Sirul berada dalam keadaan terharu dengan keperihatinan yang dilakukan pihaknya termasuk media.

"Kita tahu Sirul berada dalam penjagaan terbaik di bawah pemantauan Australia, dalam keadaan sekarang kita yakin beliau selamat.

"Dalam keadaan sekarang, kita tidak boleh menjangkakan apa akan berlaku, kita harap keselamatan beliau terus terjamin," kata beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga dijangkakan akan ke Australia minggu hadapan bersama-sama ibu Sirul, Piah Samad, 74 dan juga beberapa pimpinan PAS yang lain. – HARAKAHDAILY 23/2/2015

Share on Myspace