Pasti tawan hati penduduk, bertapak di Mindanao

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Pusat pendidikan prasekolah satu-satunya milik PAS iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) hari ini mengorak langkah dengan penuh yakin apabila berjaya bertapak di Mindanao, Filipina.

Buat pertama kalinya, Pasti yang ditubuhkan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia berjaya menawan hati penduduk Mindanao dengan pembukaan cawangan di Ambolong Marawi.

Menurut Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat, kejayaan Pasti itu merupakan usaha dakwah yang memenuhi tuntutan rahmat untuk semua secara berterusan oleh Pemuda.

Malah katanya, usaha dan kesungguhan bekerja secara kumpulan dengan sistem kerja yang baik oleh pihak Pasti Pusat memberi kejayaan kepada institusi pendidikan khususnya pendidikan Islam.

"Pasti boleh menjadi contoh kepada agensi-agensi lain di dalam PAS," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau juga yakin Pasti akan menjadi sebuah institusi pendidikan Islam yang cemerlang dan berjaya melahirkan murid-murid yang berakhlak tinggi.

"Dengan penubuhan cawangan baru di Filipina, tidak mustahil selepas ini kita mungkin akan merentasi sempadan negara-negara jiran yang lain," katanya.

Pasti terus berkembang seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan dunia hari ini dengan penambahan kelas-kelas di seluruh negara dan pada suatu ketika meratai kesemua 14 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.

Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat ke-28 pada 10 April 1987 telah meluluskan usul pendidikan yang mendesak diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS. - HARAKAHDAILY 23/2/2015

Share on Myspace