Tuduhan PAS bergabung dengan Umno tidak masuk akal

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa PAS tidak akan sesekali bergabung dengan Umno sebagaimana yang diviralkan dalam media sosial sekarang.

Naib Presiden PAS itu berkata, perkara penggabungan PAS-Umno itu tidak pernah dibincang dalam mana-mana mesyuarat parti.

Menurutnya, sudah tidak terbilang kalinya ditegaskan bahawa tidak timbul soal penyatuan kedua-dua parti ini.

Katanya, PAS ada 21 kerusi parlimen sementara Umno mempunyai 88 kerusi parlimen.

"Jika bergabung, Umno nak bagi berapa kerusi kepada PAS? 40? Daripada sudut ini sahaja, tuduhan bahawa PAS akan bergabung dengan Umno sudah tidak masuk akal," ujarnya dalam satu kenyataan.

Bahkan, tambah beliau Presiden PAS telah menegaskan di dalam muktamar lalu dan sebelumnya bahawa PAS tidak akan bergabung Umno.

"Perkara dasar begini mesti melalui keputusan muktamar bukan hanya pandangan peribadi ahli parti," tegas Tuan Ibrahim lagi.

Katanya, jikalau atas alasan untuk melaksanakan sistem perundangan Islam, Umno sudahpun boleh melaksanakannya seandainya betul ingin melaksanakannya di semua negeri yang diperintahnya.

Menurut beliau, berdekad-dekad Umno menentang hudud dan memperlekehkan hukum Allah ini, dan tidak menggunakan Al-Quran dan Hadis sebagai rujukan tertinggi parti.

"Apakah mungkin tiba-tiba Umno betul ingin membantu PAS melaksanakannya," tanya beliau yang juga Persuruhjaya PAS Pahang.

Katanya, dalam saat Umno sedang kelemasan, tentulah ia akan sanggup melakukan apa sahaja, namun pengalaman lampau membuktikan bila mana mereka kuat, mereka akan tendang PAS keluar dari muafakat yang ada.

Jelas beliau, sudah sekian lama, Umno menindas Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan rakyat Kelantan dengan menafikan royalti minyak, pembangunan, lebuh raya, lapang terbang dan langsung tidak menghormati sistem federalisma.

"Apakah tindakan parti yang zalim terhadap PAS berdekad-dekad ini boleh dipercayai?" tanya beliau lagi.

Kata beliau, kalau hujahnya adalah untuk perpaduan Melayu, biarlah orang Melayu bersama dengan PAS bagi membentuk sebuah kerajaan baru berteraskan Islam, dan tidak lagi dilihat sebagai komuniti yang boleh menerima rasuah, salahguna kuasa sebagai sesuatu yang patut di bawah kerajaan Umno.

Tambahnya, amalan rasuah, salahguna kuasa, pengurusan ekonomi negara yang pincang dan tindakan menggunakan akta dan tindakan yang zalim untuk mendiamkan rakyat mesti dihentikan.

"Semua ini tidak akan dapat dicapai di atas tapak Umno yang korup," tegas beliau. - HARAKAHDAILY 24/2/2015

Share on Myspace