Tuduhan liwat: Jais mesti siasat peguam Shafee

SAIDAH HAIRAN | .

SHAH ALAM: Pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin mendesak pihak Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyiasat kenyataan terbuka Peguam Kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menuduh Ketua Pembangkang, Datuk Anwar Ibrahim meliwat Saiful.

Katanya, tuduhan tersebut dibuat oleh Shafee dalam satu sesi dialog terbuka di Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) Kelana Jaya pada 17 Februari, lebih kurang jam 9.30 malam.

Sehubungan itu, Wan Ji telah membuat laporan kesalahan jenayah syariah qazaf terhadap Shafee Abdullah yang telah menuduh Anwar meliwat Saiful tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh.

Laporan itu dibuat secara bertulis dan ditandatangani oleh Pegawai Penguatkuasa Agama (Jais), Norhuda Talib, semalam.

Dalam laporan tersebut, Wan Ji mendesak supaya Shafee mesti disiasat di bawah Seksyen 36 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeir Selangor) 1995.

Katanya, ia berdasarkan hukum qazaf yang termaktub secara qatie subut dan qatie dilalah menerusi ayat al-Quran dari surah al-Nur ayat 4 dan ayat 13.

Firman Allah bermaksud: "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat dan janganlah kau menerima persaksian mereka itu selama-lamanya. kerana mereka adalah orang orang yang fasik." (An-Nur: 4)

Menurut beliau, sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi bagi membuktikan pertuduhan tersebut.

Tambah beliau, dalam dialog terbuka itu Shafee mengatakan bahawa; "(Anwar asked him to take the position on the floor, Saiful described he was so angry, he feels so humiliated masa benda itu berlaku, orang yang want through this would be able to describe this, he described ini the greatest of details, ada pada masa-masa yang sama dia tersebak tetapi he is strong boy)...

Dalam sidang media selepas membuat laporan, beliau mendesak supaya pihak Penguatkuasa Agama Jais mesti melakukan siasatan terhadap Shafee dengan segera. - HARAKAHDAILY 24/2/2015

Share on Myspace