Pencalonan AJK PAS Pusat ditutup 30 April

HAZAYANI ZAKARIA | .

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat menetapkan 30 April depan sebagai tarikh tutup bagi kawasan dan dewan negeri mengemukakan pencalonan bagi mengisi jawatan yang dipertandingkan di peringkat pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Asmuni Awi berkata, borang pencalonan mesti sampai ke pejabat sekretariat pemilihan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut sebelum jam lima petang pada tarikh tersebut.

"Sebarang pencalonan yang disampaikan selepas jam lima petang, tidak diterima atau diketepikan," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Asmuni menjelaskan, sebelum berlangsungnya pemilihan di peringkat pusat, pemilihan akan berlangsung di peringkat cawangan, kawasan, dewan-dewan kawasan dan juga dewan-dewan negeri.

Mesyuarat agung kawasan akan berlangsung bermula pada 1 Mac hingga 21 April, sementara mesyuarat negeri akan bermula pada 24 April hingga 17 Mei.

Antara agenda yang akan diputuskan dalam mesyuarat agung tersebut ialah berkaitan pencalonan bagi pemilihan di peringkat pusat.

Bagi jawatan di peringkat pusat termasuk ahli jawatankuasa pusat, pencalonan datang dari kawasan manakala bagi dewan-dewan di peringkat pusat pula iaitu dewan muslimat dan pemuda juga datang dari kawasan, sementara bagi  dewan ulama pencalonannya datang dari dewan ulama negeri.

"Pada 2013 kita memperkenalkan peraturan pemilihan yang dilaksanakan di peringkat pusat sahaja.

"Pada kali ini peraturan pemilihan ini diperluaskan bagi pemilihan di peringkat kawasan dan secepat mungkin kita cuba melaksanakannya di peringkat cawangan tapi kerana kesuntukan masa dan menyedari beberapa masalah yang timbul di peringkat cawangan, maka jawatankuasa pemilihan memutuskan supaya peraturan ini hanya diguna pakai bagi pemilihan di peringkat kawasan, dewan-dewan kawasan dan juga dewan-dewan negeri," jelasnya yang juga bendahari PAS Pusat.

Beliau turut mengingatkan, mesyuarat dewan kawasan mesti diadakan terlebih dahulu sebelum mesyuarat agung kawasan kerana di peringkat kawasan ada dewan pemuda dan dewan muslimat.

Ada kawasan yang buat mesyuarat kawasan dahulu sebelum mesyuarat dewan kawasan.

Kita akan putuskan sama ada kawasan ini akan buat pemilihan semula atau bagaimana," ujarnya.

Bagi kawasan yang tidak mempunyai cawangan pula, pencalonan bagi jawatan sama ada di peringkat dewan atau kawasan hendaklah dibuat oleh ahli kawasan tersebut.

Menurut beliau juga, sesuai dengan peruntukan dalam perlembagaan PAS fasal 28 (2), semua jawatan yang dipertandingkan di peringkat kawasan hendaklah diputuskan dalam mesyuarat agung kawasan tersebut.

Sementara itu, menyentuh mengenai aktiviti kempen, beliau menegaskan, calon yang bertanding di peringkat kawasan dan negeri dibenarkan berkempen secara sihat, bagaimanapun tertakluk kepada larangan yang ditetapkan dalam peraturan pemilihan PAS 2013 pindaan 2014.

"Jika larangan tersebut dilanggar, tindakan disiplin akan diambil," katanya.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Setiausaha jawatankuasa pemilihan, Mohd Azhar Mat Dali.

Muktamar penuh PAS Pusat kali ke-61 akan berlangsung pada 4 hingga 6 Jun depan di Selangor. – HARAKAHDAILY 24/2/2015

Share on Myspace