Pemilihan PAS: Ahli NGO layak bertanding

HAZAYANI ZAKARIA | .

KUALA LUMPUR: PAS tidak menghalang ahlinya yang menyertai mana-mana NGO untuk bertanding dalam pemilihan parti itu kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi berkata, selagi ahli tersebut tidak melanggar perlembagaan PAS, dia layak bertanding walaupun menyertai NGO lain termasuk Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).

"Peraturan ini tidak menghalang mana-mana ahli NGO untuk menjadi calon.

"Ahli PAS bebas menyertai mana-mana NGO, tidak ada sekatan. Kecuali kalau ada sekatan selepas ini. Sekarang tak ada sekatan.

"Dia nak jadi ahli Abim ke, Ikram ke Jim ke, selagi dia ahli PAS dan tidak langgar syarat yang ditetapkan dalam perlembagaan PAS maka dia layak menjadi calon," kata beliau pada sidang media berkenaan pemilihan parti itu di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita mengenai andaian ahli PasMa bertanding pada pemilihan kali ini.

Pemilihan PAS di peringkat kawasan akan berlangsung pada 1 Mac hingga 21 April ini.

Manakala pemilihan jawatankuasa pusat akan berlangsung pada muktamar 4 hingga 6 Jun depan. – HARAKAHDAILY 24/2/2015

Share on Myspace