Persiapan Ijtimak Antarabangsa berjalan lancar

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Hanya beberapa minggu sahaja lagi, daerah Marang amnya dan Kampung Rusila khususnya dijangka menerima kedatangan ratusan ribu tetamu dari dalam dan luar negara yang akan menghadiri Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-3 pada 19 hingga 22 Mac ini.

Menurut Pengarah Urusetianya, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, ijtimak yang diadakan pada kali ini lebih bermakna berbanding sebelumnya kerana himpunan wakil pelbagai negara itu dianjurkan setelah Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia.

“Ijtimak kali ketiga ini, lebih membawa erti dan kelainan kepada penduduk daerah Marang khususnya dan Terengganu amnya kerana kini Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi telah diamanah diiktiraf sebagai pemimpin Islam dunia secara rasminya dilantik sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Justeru itu, katanya pelbagai usaha memperelokkan dan menceriakan tapak utama perhimpunan, masjid dan Kampung Rusila serta membaik pulih prasarana yang sedia ada sebagai persiapan menghadapi kedatangan para pengunjung.

Ketua Pemuda PAS Kampung Rusila, Ustaz Yusuf Abdul Hadi berkata, antara kerja-kerja gotong royong yang dilakukan oleh para sukarelawan termasuk mengecat bangunan masjid, menimbus dan membersihkan kawasan untuk dijadikan kawasan tempat letak kenderaan dan tapak jualan.

Katanya, dewan pameran dibersihkan dan menceriakan suasana dan pemandangan sepanjang pesisir pantai antara Kampung Ru Renggeh sehingga Kampung Rhu Rendang sejauh kira-kira lima kilometer.

Share on Myspace