Jolly shandy: Letak garis panduan baru elak kekeliruan

ASMUNI AWI | .

Pertubuhan Kesedaran Pengguna Perak (Penyedar) membuat tinjauan di pasar-pasar raya sekitar Negeri Perak khususnya telah mendapati bahawa masih terdapat jenis minuman bertin berjenama Jolly Shandy yang banyak dijual secara terbuka.

Umum mengetahui semua pasar-pasar raya kerap kali dikunjungi oleh orang-orang yang beragama Islam termasuk kanak-kanak sekolah adalah amat berisiko dan terdedah dengan penjualan minuman jenama Jolly Shandy akibat daripada kekeliruan yang timbul.

Dengan pemaparan rekabentuk pada tin minuman tersebut yang agak menarik, tidak mustahil kanak-kanak termasuk pelajar-pelajar sekolah yang beragama Islam malah mungkin juga orang-orang dewasa yang kurang berhati-hati akan ‘terbeli’ minuman tersebut kerana menyangka minuman tersebut adalah sejenis minuman ringan yang baru di pasaran.

Walaupun ianya mula diperkenalkan pada tahun 2007 yang lalu, minuman beralkohol ini jelas mengelirukan berikutan reka bentuknya seperti minuman-minuman bertin ringan yang biasa.

Minuman keluaran Malaysia ini adalah campuran carlsberg dengan perisa ringan yang lain seperti lychee, gorden kiwi, apple dan pineapple.

Pada tahun 2013 yang lalu, banyak pihak yang membantah kerana bekas yang digunakan adalah hampir sama seperti minuman ringan yang lain di tambah pula dengan kandungan sebenar minuman tersebut tidak dinyatakan dengan jelas.

Malah corak dan warna tin minuman tersebut seolah-olah sama seperti tin minuman biasa yang berada di pasaran tempatan khasnya.

Tambahan pula perkataan ‘contains alcohol’ hanya dicatatkan dengan tulisan kecil sahaja di belakang tin tersebut dan kurang difahami terutamanya kanak-kanak.

Definisi minuman beralkohol atau arak Mengikut Peraturan Makanan 1985: Peraturan 361 (1-2) menyatakan minuman beralkohol adalah likuor yang mengandungi alkohol melebihi 2%.

Maka minuman jenis jenama Jolly Shandy ini mengandungi 0.5% alkohol tidak termasuk di bawah peraturan ini serta boleh dijual di rak yang sama dengan minuman ringan yang lain.

Jika diperhalusi kandungannya juga, ianya terdapat campuran seperti berikut: water, sugar, beer, citric acid, flavouring, colour, carbon dioxide, ascorbic acid, vitamin C and stabilizer. Setelah usaha meningkatkan gaya penarik, minuman ini dengan rasa yang dipertingkat dan dalam rekabentuk yang baru bersaiz air tin biasa 320 ml telah diperkenalkan.

Untuk mengelakkan kekeliruan dikalangan pengguna Islam khasnya, Penyedar mencadangkan supaya perkataaan 'Carlsberg' itu ditulis dengan jelas di bahagian atas tin minuman tersebut.

Malah notis amaran dan peringatan perlu diletakkan di rak-rak minuman tersebut agar pengguna peka dan memahami akan jenis minuman yang terdapat di situ. Kerjasama semua Pasaraya dan Bahagian Penguatkuasaan di bawah agensi kerajaan yang terlibat agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil.

Semua pihak berperanan memberikan maklumat dan infomasi untuk mengelakkan kekeliruan bagi minuman atau makanan seperti ini dan adalah menjadi harapan semua pihak agar lebih sensitif dan peka akan isu pengguna ini. - HARAKAHDAILY 24/2/2015

Penulis ialah Pengerusi Pertubuhan Kesedaran Pengguna Perak.

Share on Myspace