Kunjung hormat kepada PM tanggungjawab saya - MB

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Doakan semoga Allah mempermudah segala usaha saya dan pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan demi berkhidmat untuk rakyat," kata Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan itu menjelaskan, semalam beliau telah mengadakan kunjung hormat kepada Perdana Menteri bagi perbincangan dua hala antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan dalam dua perkara. (Foto atas FB Najib Razak)

Katanya, perbincangan itu ialah mengenai persiapan akhir migrasi air yang dijangka majlis menandatangani perjanjian akan diadakan pada Mac 2015 nanti.

Selain itu, kata beliau juga membincangkan Jajaran 'Central Spine Road' sepanjang 417 km bermula dari Kota Bharu sehingga ke Simpang Pelangai di sempadan Pahang/Negeri Sembilan.

"Kunjung hormat ini adalah tanggungjawab saya sebagaimana termaktub dalam jadual tahunan bagi menyatakan beberapa tuntutan serta memenuhi keperluan kesejahteraan Negeri Kelantan yang dicintai," ujar beliau dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, turut bersama dalam perbincangan tersebut ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Timbalan Ketua Pengarah ICU Jabatan Perdana Menteri, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri Kelantan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. - HARAKAHDAILY 24/2/2015

Share on Myspace