Pendidikan Malaysia: Kenyataan menteri tidak berasas realiti

MOHAMAD AMMAR ATAN | .

KENYATAAN yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan II Malaysia, Datuk Idris Jusoh yang mengatakan bahawa pendidikan di Malaysia kini adalah lebih tinggi dan setanding dengan negara-negara maju termasuk United Kingdom, Jerman dan Australia adalah tidak berasaskan fakta dan maklumat yang tepat.

Hujah yang dikeluarkan beliau berdasarkan jumlah pelajar asing yang menuntut di Malaysia yakni seramai 135,000 pelajar asing dan ia menyumbang 10% daripada pelajar-pelajar di institusi pendidikan tinggi negara di negara ini.

Sebagai seorang mahasiswa yang menuntut di Universiti Malaya yang merupakan universiti terkemuka di Malaysia, saya merasakan seperti diperkecilkan apabila bilangan pelajar asing di negara ini dijadikan sebagai satu kayu ukur atau petunjuk mutu tahap pendidikan di Malaysia, dan kenapa tidak pelajar tempatan? Adakah dengan kehadiran pelajar asing sudah cukup untuk mengatakan bahawa tahap pendidikan di Malaysia sudah setaraf dengan negara membangun?

Kenyataan seperti ini perlu disangkal kerana dikhuatiri tumpuan akan diberikan terlalu banyak kepada pelajar antarabangsa dan tidak kepada pelajar tempatan, ia juga akan menatijahkan tindakan sesetengah pembuat dasar yang menggunakannya sebagai 'jalan pintas' untuk meningkatkan kedudukan universiti di sini.

Kalau kita melihat peratusan pelajar di Cambridge pada hari ini, peratusan pelajar antarabangsa adalah lebih kurang 19% berbanding 11% di Harvard. Peratus pelajar antarabangsa yang pelajar di London School of Economics (LSE) adalah 42%. Adakah wajar kita mengambil data ini sebagai indikator tahap pendidikan di LSE adalah lebih tinggi daripada di Cambridge yang seterusnya lebih baik daripada Harvard? Sudah tentu tidak!"

Sama juga situasinya di Malaysia yakni universiti awam dengan jumlah terbesar dan peratusan pelajar asing di Universiti Malaya dengan 3,289 pelajar (12.7 %) dan sebaliknya, tiga universiti swasta dengan jumlah dan peratusan pelajar asing lebih besar adalah Universiti Lim Kok Wing dengan 5,764 pelajar (70.6%), Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik dengan 4,843 pelajar asing (65%) dan Universiti Antarabangsa Al-Madinah dengan 3,272 pelajar asing (95%).

Kalau kita menggunakan formula magik Idris Jusoh, saya katakan bahawa disebabkan Universiti Lim Kok Wing punyai peratusan pelajar asing yang tinggi, ini bermakna tahap pendidikan di Universiti Lim Kok Wing adalah lebih baik daripada Universiti Malaya yang mempunyai peratusan pelajar asing yang lebih rendah.

Oleh itu, yang perlu ditegaskan dalam menilai tahap pendidikan sesebuah negara ialah kualiti pelajar yang menuntut atau memasuki universiti, tidak kira sama ada mereka pelajar antarabangsa atau rakyat tempatan. Sekiranya dasar kuantiti menjadi fokus menteri dan bukannya melihat kepada aspek kualiti, maka ramai anak muda tempatan akan mendapat tempias negatif. – HARAKAHDAILY 25/2/2015

Penulis ialah Presiden, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya 2014/2015.

Share on Myspace