Ekonomi 2015: Disinflasi sementara

| .

INFLATION is taxation without legislation - Milton Friedman (1979).

Ekonomi Malaysia mencatatkan kenaikan harga barangan pada kadar lebih rendah (dis-inflasi) pada awal tahun 2015, kesan daripada kejatuhan harga minyak di pasaran global dan domestik pada penghujung 2014.

Perangkaan terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik merekodkan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi bulan Januari 2015 meningkat pada kadar yang rendah iaitu 1.0% setahun berbanding peningkatan 2.7% setahun pada Disember 2014, disumbangkan oleh kos pengangkutan yang lebih rendah yang berpunca daripada kejatuhan harga minyak pasaran.

Secara terperinci, kadar peningkatan IHP yang rendah ini (+1.0%) telah disumbangkan oleh penurunan indeks Pengangkutan (-6.0%) bagi perbelanjaan bahan api dan pelincir untuk pengangkutan persendirian, Komunikasi (-1.0%), dan Pakaian & Kasut (-0.1%). Walau bagaimanapun, penurunan ini telah diimbangi oleh kenaikan beberapa kumpulan yang berwajaran tinggi seperti indeks Makanan & Minuman Bukan Alkohol (+2.8%) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (+2.1%).

Kebanyakan penganalisis ekonomi secara konsensus telah menyemak semula jangkaan kadar inflasi 2015 kepada paras yang lebih rendah (CIMB: 2.7%, Maybank: 3.0%-4.0%, Alliance: 3.5%, RHB: 3.6%) atas faktor kejatuhan harga minyak di pasaran sehingga suku kedua 2015, bagi mengimbangi kesan inflasi selepas pelaksanaan 6% GST pada April 2015 dan kenaikan-semula harga minyak global selewatnya pada suku ketiga 2015.

Ini dapat diperhatikan daripada senarai barangan yang dikeluarkan oleh pihak Kastam Diraja pada Januari 2015, hanya 13% daripada 1,852 item yang disenaraikan adalah berkadar sifar (zero-rated) manakala bakinya akan dikenakan kadar 6% GST, selaras dengan sifatnya yang meluas (broad-based taxation) dan pengalaman negara lain yang telah melaksanakan GST atau VAT yang telah menghadapi kesan inflasi mendadak (one-off inflationary) sejurus pelaksanaannya.

Justeru, tempoh disinflasi ini dijangka hanya sementara atas faktor kos bahan api yang lebih rendah dalam tempoh yang singkat ini, sebelum pengguna akan berdepan dengan kenaikan kos selepas pelaksanaan GST kelak yang akan memberi kesan kepada segenap lapisan masyarakat, termasuklah golongan pelajar, suri rumah, petani dan pesara.

Firman Allah SWT: " ..Supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu.." (Al-Hasyr: 7) - HARAKAHDAILY 25/2/2015

(Syahir Sulaiman ialah Pengarah Kajian Polisi Pemuda PAS)

Share on Myspace