Calon Dun Chempaka ditentukan akar umbi

MOHD NOR YAHYA | .

GUA MUSANG: Calon PAS bagi menggantikan Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Dun Chempaka akan ditentukan melalui cadangan peringkat akar umbi.

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, Perhubungan PAS Negeri memberi peluang kepada cawangan-cawangan PAS di Pengkalan Chepa mencalonkan nama terbaik kalangan mereka.

Katanya, melalui nama-nama yang dikemukakan itu Perhubungan PAS Kelantan akan membuat pilihan bagi memastikan ada kesinambungan khidmat Allahyarham Tok Guru kepada rakyat di Dun Chempaka.

“Kita akan dengar suara di peringkat akar umbi. Selepas itu Perhubungan Negeri akan membuat pilihan berdasar kepada calon yang dikemukakan,” katanya selepas merasmikan perletakan batu asas pembinaan kilang simen di Chiku 7, dekat sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, anggota-anggota Exco, Datuk Anuar Tan Abdullah, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Dr Ramli Mamat, Ketua Jajahan Gua Musang, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusof.

Selain itu Penyelia Parlimen Gua Musang, Azman Ahmad dan pemimpin-pemimpin tempatan.

Kilang simen tersebut membabitkan kos RM1.3 bilion akan dibina di kawasan seluas 100 hektar, pembinaannya dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Chempaka diadakan berikutan kematian Tok Guru Nik Abdul Aziz pada 12 Febuari lalu akibat kanser prostat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon PRK tersebut pada 10 Mac dan pembuangan undi 22 Mac ini. Pada pilihan raya umum lepas Tok Guru menang dengan majoriti 6,500 undi.

Umno Kelantan baru-baru ini membayangkan tidak berminat menyertai pilihan raya tersebut dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada mangsa-mangsa banjir.

Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, biar pun Umno dikatakan tidak berminat menyertai PRK tersebut, namun PAS tetap akan mempertahankan kerusi berkenaan. - HARAKAHDAILY 25/2/2015

Share on Myspace