Penganut Sikh terasa pemergian Tuan Guru

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Murabbi Ummah Almarhum Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat semenjak menjadi Menteri Besar tidak pernah membezakan kaum dan agama di negeri Kelantan.

Selama 23 tahun Almarhum memerintah negeri itu, hubungan silaturahim dalam kalangan penganut agama lain menjadi perkara penting baginya demi agama yang diperjuangkan iaitu Islam.

Pemergian tokoh Murabbi Ummah pada 12 Februari lalu turut dirasai oleh masyarakat Sikh khususnya di Pantai Timur yang mempunyai hubungan sangat baik dengan Almarhum.

"Beliau sentiasa merendah diri, sentiasa turun berjumpa dengan rakyat," kata Prof Rabindarjeet Singh, yang mengajar di sebuah universiti awam tempatan dan sudah 16 tahun tinggal di negeri Kelantan.

Memetik portal berita Asia Samachar, Presiden Jawatankuasa Gurdwara Sikh Kota Bharu, Gurmukh Singh berkata sebanyak dua kali Almarhum hadir ke rumah terbuka Vasakhi mereka dan beliau begitu suka dengan kuih tradisi iaitu jelabi dan ladoo.
 
Menurut akhbar online untuk masyarakat Sikh/Punjabi di Asia Tenggara, masyarakat Sikh antara golongan minoriti di Kota Bharu cukup mesra dengan Almarhum yang mempunyai gaya kepimpinan tersendiri. - HARAKAHDAILY 25/2/2015

Share on Myspace