139 penghuni Bukit Botak akan dapat pinjaman bank

| .

KUALA LUMPUR: Seramai 139 penghuni asal di Taman Selayang Mutiara (Bukit Botak) dijangka berjaya mendapat pinjaman daripada Maybank bagi menyelesaikan urusan pembelian rumah di kawasan itu.

Menurut Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, mereka diberi bantuan khusus oleh kerajaan negeri Selangor terutama penghuni yang tidak berkemampuan untuk membuat pinjaman bank disebabkan faktor usia selain berpendapatan rendah.

Tambahnya, bantuan bersifat istimewa itu dipersetujui berdasarkan hasil perbincangan antara kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Maybank.

Beliau yakin permohonan penduduk ini diluluskan memandangkan PKNS akan menyelesaikan hutang dengan pihak bank sekiranya mereka tidak mampu bayar.

“Hasrat saya adalah supaya semua pihak yang ditawarkan rumah ini tidak mempunyai masalah mendapatkan pinjaman bank selepas kita adakan perbincangan bersama PKNS dan Maybank.

“Bantuan yang ditawarkan adalah istimewa kerana PKNS akan bertindak menjadi penjamin kepada pinjaman yang dibuat, cuma yang penting kita minta sangat supaya penduduk membayar ansuran seperti yang dipersetujui dalam perjanjian," katanya kepada Harakahdaily.

Proses pinjaman itu akan dilaksanakan secara berperingkat di Maybank Seksyen 14, Shah Alam pada 17 dan 18 Mac ini.

Pihaknya akan menyediakan bas bagi membawa 139 penduduk ini ke Maybank pada hari tersebut.

Zaidy yang juga Adun Taman Templer berkata program itu juga terbuka kepada penghuni yang sudah mendapat tawaran perumahan di Taman Selayang Mutiara, namun berdepan masalah tamat tempoh sah laku pembelian.

“Tidak ramai yang dapat bantuan pinjaman bagi memiliki rumah berkenaan sehingga Kerajaan Negeri berbincang dengan Maybank supaya 139 penghuni ini mendapat pinjaman 100 peratus daripada pihak bank.

“Saya akan pastikan mereka ini dibantu cuma peminjam kena bayar balik kerana kita tidak mahu isu arahan pindah keluar berlaku kelak,” katanya.

Malam tadi Zaidy turut meraikan penduduk Taman Selayang Mutiara dalam satu majlis kesyukuran dan penyerahan dokumen tawaran pinjaman perumahan kepada mereka.

Sehingga kini, 971 pemilik sudah menerima kunci kediaman masing-masing, sementara 179 lagi masih menunggu proses pinjaman selesai sepenuhnya.

Penduduk yang akan menerima bantuan pinjaman terbabit perlu melunaskan kira-kira RM500 sebulan kepada pihak bank. - HARAKAHDAILY 25/2/2015

Share on Myspace