Militan: Pengasas madrasah nafi dakwaan New York Times

MOHD HAIKAL MOHD ISA | .

ALOR SETAR: Pengasas bersama Madrasah Nurul Hidayah di Kuala Ketil, Mohd Zainon Ariffin, menafikan dakwaan kononnya sekolah itu menyebar fahaman militan di kalangan pelajarnya.

Beliau berkata dakwaan yang dibuat dalam laporan video dokumentari terbitan akhbar The New York Times dan beberapa media lain baru-baru ini tentang sekolah itu adalah tidak benar.

"Islam tidak pernah mengajar umatnya menjadi ganas atau militan. Di dalam Islam tidak ada istilah pengganas. Islam mengharamkan keganasan. Madrasah saya juga tidak mengajar pelajar menjadi pengganas," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Rabu.

Madrasah Nurul Hidayah yang terletak di Kuala Ketil, lebih 100 km ke selatan dari sini, mendapat perhatian media asing kerana selain Mohd Zainon, 53, adik beliau Allahyarham Mohd Lotfi Ariffin, 46, juga merupakan tenaga penting di sebalik penubuhan madrasah itu.

Mohd Lotfi, bekas Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Kedah yang terlibat dengan kumpulan yang dikenali sebagai Ajnad al Sham yang turut berjuang menentang Presiden Bashar al-Assad, telah meninggal dunia di sebuah hospital di Turki, tahun lepas akibat kecederaan parah yang dialaminya berikutan serangan udara oleh tentera Bashar al-Assad di Syria.

Mohd Zainon berkata, adiknya itu tidak menyertai kumpulan militan IS.

Pengasas madrasah itu berkata beliau berasa telah ditipu wartawan dari media asing yang menerbitkan dokumentari itu dan akibat daripada laporan tidak benar itu, beliau berdepan pelbagai masalah termasuk disiasat oleh polis, selain madrasahnya dipantau oleh pihak berkuasa.

Beberapa hari selepas tersiarnya dokumentari itu, Ketua Polis Kedah Datuk Zamri Yahya di dalam sidang media menyatakan, polis akan mengambil tindakan dan memantau mana-mana madrasah di Kedah yang disyaki terlibat dengan kegiatan militan.

Menurut Mohd Zainon, wartawan media asing itu mengambil masa selama dua hari untuk membuat penggambaran di madrasahnya dan mengatakan tempoh dokumentari yang bakal disiarkan itu adalah selama 48 minit.

Bagaimanapun durasi akhir dokumentari yang disiarkan hanya mengambil masa selama lapan minit, katanya.

Namun apa yang lebih mendukacitakan adalah ucapannya meminta pelajar-pelajar madrasah itu mengambil teladan daripada amalan dan pengajian keagamaan Allahyarham adiknya telah dipotong oleh media asing itu.

Di dalam ucapannya itu, Zainon mahukan pelajarnya mengikuti amalan Allahyarham Mohd Lotfi seperti tidak pernah meninggalkan solat jemaah, solat sunat Dhuha, Tahajjud dan sentiasa membaca Al-Quran.

"Sebagai pelajar yang menghormati beliau (Lotfi) mereka mestilah mengikut sikap dan disiplin beliau. Inilah ucapan saya yang sepatutnya ada dalam video tersebut.

"Video itu juga menggambarkan seolah-olah tempat (Madrasah Nurul Hidayah) melahirkan pengganas. Sebenarnya madrasah tidak mengajar sesiapa pun menjadi zalim dan ganas," katanya.

Mohd Zainon berkata sepengetahuannya Allahyarham adiknya tidak pernah menyebarkan fahaman militan atau mempengaruhi anak muridnya supaya ikut berjuang di Syria, sepanjang dia mengajar di madrasah itu.

Sehingga kini, tidak ada seorangpun murid dari madrasah itu yang menjadi militan dan sekolah itu hanya menawarkan pengajian agama selama lima tahun kepada 180 pelajar yang berumur 12 tahun hingga 17 tahun, dengan yuran bulanan RM20, katanya.

"Di sini kita tidak mengajar cara mengendali senjata," katanya.

Jika ada pihak luar cuba menpengaruhi anak murid di madrasah menyertai pengerakan militan, Zainon berkata beliau akan menerangkan kepada mereka supaya menumpukan perhatian kepada pelajaran dan usaha menimba ilmu.

"Adalah lebih baik bagi mereka berada di sini menimba ilmu," kata beliau.

Bagaimanapun, beliau tidak fikir ada usaha daripada pihak luar yang cuba mempengaruhi atau merekrut anak muridnya untuk menyertai pergerakan militan.

Pelajar madrasah itu, kata Mohd Zainon berasal dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dan berlatarbelakangkan keluarga yang tidak berada. - Bernama

Share on Myspace