PKR sokong keluarga Anwar mohon pengampunan diraja

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Biro Politik PKR dalam mesyuarat mingguan, semalam telah menyatakan sokongan penuh kepada permohonan pengampunan diraja (royal pardon) yang dibuat oleh keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas ketidakadilan ketara (gross miscarriage of justice) yang telah berlaku terhadap beliau.

Rafizi Ramli berkata, PKR juga memahami bahawa itu adalah keputusan peribadi keluarga Anwar yang perlu dipisahkan dari pertimbangan politik atas dasar kasih sayang anak-anak dan isteri kepada seorang bapa dan suami.

Menurut Naib Presiden PKR itu, keseluruhan pendakwaan dan penghakiman terhadap Anwar dilihat berunsur politik bertujuan untuk menyekat kemaraan beliau dan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Sejak Anwar dipenjarakan, katanya pendakwaan dan penghakiman itu telah mendapat kutukan dari seluruh dunia yang rata-ratanya menganggap Anwar seorang tahanan politik (political prisoner) yang dihukum atas pendirian dan prinsipnya, bukan kerana kesalahan yang diwar-warkan.

Oleh itu, beliau memberi amaran bahawa apa-apa percubaan oleh Umno/Barisan Nasional untuk meneruskan fitnah terhadap Anwar itu akan terus mengundang kemarahan rakyat terhadap pemerintah seperti mana yang diakui oleh beberapa pimpinan Umno yang dipetik laporan media setakat ini.

Kata beliau, Umno BN sewajarnya menangani masalah ekonomi negara yang meruncing dan mencekik rakyat bukannya menumpukan tenaganya membunuh kerjaya politik orang nombor satu yang ditakutinya.

"Berikutan dengan kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa kerusi parlimen Permatang Pauh tidak dikosongkan sehingga proses petisyen pengampunan diraja ini selesai, persoalan Ketua Pembangkang dan pilihan raya kecil juga tidak timbul," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pandan dalam satu kenyataan.

Sebagai Ketua Pembangkang, katanya Anwar wajar dibenarkan untuk hadir ke Dewan Rakyat untuk sidang Parlimen yang akan datang bermula 9 Mac ini.

Oleh yang demikian, ujar Rafizi Sekretariat Parlimen PKR di bawah Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul akan berurusan dengan Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dan peguam-peguam Anwar untuk mendapatkan kebenaran bagi membolehkan beliau hadir sebagai Ketua Pembangkang pada sidang Parlimen akan datang. - HARAKAHDAILY 25/2/2015

Share on Myspace