'Tak dok sebab demo nak lawan kawe' jadi kenyataan

SALMIYAH HARUN | .

 

KUALA LUMPUR: Pengumuman Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Umno BN tidak akan meletakkan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Chempaka membuktikan kekuatan BN di era kepimpinan beliau sudah menurun ke tahap tidak lagi berani berhadapan dengan lawan tradisinya.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa tindakan ini sekaligus membuktikan kata-kata keramat Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat; 'Tak dok sebab demo nak lawan kawe' menjadi kenyataan hari ini.

Katanya, selepas pemergian Tok Guru, Umno BN mengakui kehebatan perjuangan beliau dan yang lebih penting, mesej perjuangan beliau  iaitu 'Islam dan bukan kebangsaan' adalah benar.

"Sekalipun tanpa penyertaan Umno BN dalam PRK, isu negara yang melibatkan Presiden Umno secara langsung iaitu 1MDB dan misteri pembunuhan Altantuya tetap akan diketengahkan dan tetap memerlukan tindak balas menyakinkan dari Perdana Menteri Malaysia.

"Saya tidak nampak perpaduan ummah boleh ditegakkan tanpa ketelusan dalam isu kenegaraan yang besar seperti 1 MDB dan isu jenayah seperti Altantuya," tulis Husam di laman Facebooknya.

Justeru baginya, perpaduan Ummah hanya akan menjadi alat politik jangka pendek untuk menyelamatkan hayat politik individu dan parti tertentu semata-mata.

Ini jelasnya katanya, BN juga gagal meletakkan calon di Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang dan ia tidak membawa apa apa makna kepada perpaduan ummah atau negara.

Husam berkata demikian bagi mengulas keputusan Umno BN untuk tidak bertanding di Dun Chempaka yang disandang oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana mahu memberi fokus kepada kerja-kerja pemulihan banjir di Kelantan. – HARAKAHDAILY 26/2/2015

Share on Myspace