Enakmen jenayah syariah, ke mana politik baharu PR?

| .

APABILA keluar kenyataan pemimpin DAP seolah-olah menghalau PAS keluar Pakatan Rakyat sekiranya membentangkan pindaan enakmen jenayah syariah di Dun Kelantan, penulis teringat isu nama Allah yang berlaku sebelum pilihan raya umum yang lepas.

Presiden PAS membuat ketetapan dibenarkan bukan Islam menggunakan nama Allah kerana tiada halangan dalam agama untuk mereka menggunakannya. Juga diperingatkan agar ia tidak disalahgunakan. Sikap itu menimbulkan polimik apabila sebilangan pihak tidak bersetuju.

Lawan PAS iaitu Umno memanipulasi bersungguh-sungguh isu tersebut demi mendapatkan semaksimum mungkin undi Melayu. PAS dilihat defensif apabila terpaksa berdepan pelbagai pihak yang ‘tidak tahu’ hukum sebenar ataupun kalangan mereka yang sengaja mengambil kepentingan politik. Natijahnya sedikit sebanyak dilihat memberi kesan kepada undi Melayu kepada PAS.

Namun pasca pilihan raya umum ke-13 tersebut, kajian UMcedel menunjukkan sebaliknya. Walaupun undi Melayu PAS sedikit sebanyak terjejas, tetapi ia tidak memberi kesan besar. Ini kerana kalangan Melayu yang tidak berpuas hati dengan sikap PAS dalam isu nama Allah tersebut, tidak menterjemahkan dalam bentuk undi.

Bermakna harapan perubahan masih diletakkan kepada PAS dan Pakatan Rakyat dan Umno bukan pilihan mereka walaupun mereka menolak sikap PAS dalam isu tersebut. Dapatan UMcedel ini disimpulkan, sikap PAS tersebut adalah betul daripada sudut politiknya. Ini kerana kefahaman yang dibina atas sikap tersebut lama kelamaan akan tersebar. Untuk sampai ke pilihan raya seterusnya, pengundi Melayu semakin faham dan bermaklumat. Maka tiada peluang lagi lawan PAS menggunakan isu tersebut.

Inilah kelebihan apabila kita berdepan dengan masalah dengan cara membina kefahaman dan bukan lari daripada masalah untuk keuntungan yang singkat.

Politik baru ialah politik ilmu. Mengilmukan rakyat agar mereka faham dan perubahan dilakukan atas dasar kefahaman. Isu hudud yang dipolemikkan sejak tahun 1993 lagi sejurus Kelantan meluluskan enakmen berkenaan di Dun kelantan. Kemudian berlarutan pada tahun 2001 apabila kerajaan PAS Terengganu mengambil tindakan yang sama. Terus berlaku apabila lawan kita daripada BN melambung isu ini sebelum pilihan raya tahun 2004 dan 2013.

Kini ia muncul lagi apabila Kelantan berhasrat melaksanakannya dengan membawa perkara ini ke parlimen. Sepanjang tempoh itu, berlaku perdebatan yang panjang antara DAP dengan PAS yang sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada sebahagian besar pemimpin DAP terhadap hasrat PAS tersebut.

Oleh itu penulis tidak merasakan penentangan DAP terhadap hudud ini disebabkan tidak faham tetapi lebih menjurus kepada undi. Lawan DAP iaitu MCA dan Gerakan yang nyawa-nyawa ikan itu akan terus menerus memainkan sentimen tersebut agar pengundi bukan Islam menjauhi DAP.

Sekali imbas ia boleh memberi impak penolakan bukan Islam terhadap DAP. Namun adakah ia sesuatu yang benar? Jika benar sekalipun, kenapa kita tidak sedia berdepan dengan masalah tersebut dengan memberi kefahaman kepada mereka. Ini kerana sudah jelas pelaksanaan hukum ini tiada kena-mengena dengan mereka bahkan tidak menzalimi mereka.

Tetapi berpuluh tahun mereka ditipu media BN dan kenapa kita tidak sedia menjelaskan. Atas nama menjaga undi, kita terpaksa mengambil sikap tidak mahu berdepan dengan isu ini, maka kita tunjukkan penentangan kita bersungguh-sungguh dan korbankan rakan pakatan kita yang sama-sama perlukan undi kaum masing masing.

Selama mana kita hendak berpolitik sebegini? Politik untung sementara dan tidak membina kefahaman kepada pengundi. Maka, lama-kelamaan isu ini akan berbangkit lagi dan kita berpolemik lagi.

Sebagaimana dalam isu nama Allah, PAS mengambil risiko sementara, tetapi kesannya baik untuk jangka masa panjang apabila muslim dan non muslim mendapat kefahaman yang jelas, maka isu ini berjaya disimpul matikan.

Itupun jika benar pengundi bukan Melayu cakna dan bimbangkan isu hudud tersebut. Namun ia masih boleh dipersoalkan.

Beberapa kali pembentangan Merdeka Center sebelum pilihan raya yang lepas menunjukkan hudud bukan lagi isu bagi kaum Cina terutamanya. Kebimbangan mereka pada tahap yang minimum dan kesimpulannya tidak akan menjejaskan undi Pakatan Rakyat. Sementelah itu lawan tradisi DAP iaitu MCA dan Gerakan ditolak semaksima mungkin oleh pengundi Cina.

Sepatutnya inilah peluang terbaik memberi kefahaman dan seterusnya menyimpul mati isu ini. Kebimbangan kita apabila kita tidak bersedia dengan politik baharu yang kita laungkan tersebut, sikap yang sama terlaksana apabila kita menjadi pemerintah. Tiada kejujuran kepada rakyat kerana segala tindakan atau pertimbangan kesemuanya atas dasar undi dan keuntungan politik yang sementara. Ini mesti dielakkan.

Pun begitu, kita menerima hakikat DAP untuk terus menolak hudud walaupun bukan atas dasar bimbangkan undi tersebut. Itu hak demokratik DAP yang sememangnya dititik beratkan oleh parti tersebut.

Namun dalam hal yang sama, kita mesti memberikan hak demokratik tersebut kepada PAS untuk melaksanakan apa yang dihasratkan. Jika di parlimen, DAP mempunyai peluang untuk tidak mengundi sebarang usul atau pindaan akta yang berkaitan kerana mereka sebahagian daripada parlimen. Hal yang sama mesti diberikan kepada PAS untuk membentangkan pindaan enekmen tersebut di Dun Kelantan.

Menolak dan menentang adalah hak demokratik. Tetapi menghalang usaha Kelantan sesuatu yang tidak demokratik dan mesti tidak dibenarkan ia berlaku.

Berkaitan dengan cabar mencabar agar keluar Pakatan Rakyat jika terus berusaha untuk laksanakan hudud. Secara sedar kita mengakui dan bersetuju bahawa gabungan tiga parti dalam Pakatan Rakyat ini sesuatu yang sangat utuh untuk menumbangkan Barisan Nasional. Sedari awal juga kita mengetahui bahawa kita berpakat dalam keadaan sesama kita mempunyai perbezaan ideologi.

Namun kita terus berpakat di atas kesamaan agenda-agenda besar dan bersama yang boleh dipersetujui untuk menumbangkan Barisan Nasional dan melakukan reformasi pentadbiran. Secara sedar juga kita memperakui, jika pecahnya pakatan tersebut, hayat BN akan terus bersambung. Maka kenapa mesti kita menghalau PAS keluar daripada pakatan tersebut.

Begitu juga sebaliknya parti-parti lain pun. Jika perbezaan kita dalam isu hudud, ianya sesuatu yang sudah kita sedari sejak awal. Sejak bila pula tiada perbezaan diantara kita. Namun persamaan dalam melaksanakan agenda bersama, tidak perlu sampai menghalang hasrat dan cita-cita berbeza diantara setiap parti. Itu hak masing masing. Kita boleh “bersetuju untuk tidak bersetuju”. Menghalau sesebuah parti dalam pakatan yang ampuh sama dengan menjemput Barisan Nasional untuk terus memerintah.

Oleh itu tidak perlu kita tuding jari siapa agen BN yang sebenar, tetapi tindakan kita secara tidak langsung membuktikan kita bekerjasama memanjangkan hayat BN. Ini mesti di elakkan.

Seruan buat semua pemimpin Pakatan Rakyat agar benar-benar menjadi pengamal politik baharu sebelum kita membuat perubahan di peringkat kerajaan pusat. Masalah mesti dihadapi dan bukan melarikan diri daripada masalah.

Politik mesti dibina atas dasar kefahaman dan ilmu dan bukan terikut-ikut rentak Barisan Nasional yang membina sentimen sempit atas dasar keuntungan politik singkat. Sikap ini bukan sekadar untuk merelevankan kita diterima rakyat dalam pilihanraya, tetapi melatih dan menggambarkan sikap jujur kita untuk memimpin rakyat Malaysia. - HARAKAHDAILY 26/2/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace