Hormat Tok Guru: PAS terima baik BN tak bertanding tetapi...

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik keputusan Umno BN untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Chempaka kerana menghormati Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta mahu menumpukan kerja-kerja pemulihan banjir di Kelantan.

Bagaimanapun, menurut Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Umno hendaklah memastikan bahawa tidak ada calon Bebas dari kalangan Umno yang akan bertanding pada PRK kerusi itu.

"Kalau kerana sebab yang dinyatakan...hormat kepada Tuan Guru Nik Aziz, kita terima baik langkah ini.

"Tetapi, mesti memastikan tidak ada calon Bebas di kalangan Umno," tegas beliau kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang tidak akan meletakkan calonnya kerana mahu menumpukan kepada pemulihan mangsa banjir di negeri itu.

Najib berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan menyeluruh dengan Umno Kelantan dan bahagian Pengkalan Chepa sebelum membuat keputusan berkenaan.

SPR menetapkan penamaan calon bagi PRK Dun Chempaka pada 10 Mac dan hari mengundi 22 Mac ini.

Kerusi Dun Chempaka kosong berikutan kematian Tuan Guru selaku penyandang akibat kanser prostat pada 12 Februari lalu.

Pada PRU13, Tuan Guru juga Mursyidul Am PAS menang dengan majoriti 6,500 undi. - HARAKAHDAILY 26/2/2015

Share on Myspace