PAS sokong pengampunan kepada Anwar

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS menzahirkan simpati kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh keluarga beliau atas hukuman penjara lima tahun yang dikenakan kepada beliau.

"Pihak kami memahami bebanan berat dan perasaan yang ditanggung oleh keluarga  Anwar," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tindakan pihak keluarga Anwar yang membuat permohonan pengampunan Yang di-Pertuan Agong itu bukanlah suatu perkara yang salah kerana hak itu dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Ia juga tidak bermakna mereka telah mengaku kalah dan bersalah tetapi ia adalah salah satu langkah yang diambil dalam perjuangan panjang menegakkan keadilan di Malaysia," katanya yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS.

Tambahnya, ia bolehlah diibaratkan seperti take one step backward in order to jump to two steps forward.

"PAS berharap semoga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan yang akan bersidang kelak akan mempertimbangkan permohonan tersebut dengan bebas, berani dan seadilnya," ujarnya. - HARAKAHDAILY 26/2/2015

Share on Myspace