Air mentah kolam alternatif Selangor lulus ujian KKM

| .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor menegaskan sumber air mentah di kolam alternatif sekitar negeri itu selamat digunakan malahan ia mematuhi kualiti air mentah yang disyorkan dalam Garis Panduan Kualiti Minum Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib, pensampelan kualiti air kolam-kolam ini dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan dianalis oleh Jabatan Kimia Malaysia (JKM).

Bukan itu sahaja katanya, pemantauan kualiti air dijalankan melalui tiga peringkat, iaitu pemantauan di kolam alternatif oleh Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan JKNS, kemudian pemantauan air mentah di sungai dan muka sauk oleh LUAS, operator loji dan JKNS, dan akhirnya pemantauan air terawat selepas proses rawatan di loji rawatan air (LRA) oleh operator loji dan JKNS.

"LUAS telah memulakan operasi pengepaman air kolam alternatif di Bestari Jaya semenjak 2 Februari 2015 yang lalu dengan pengeluaran sehingga 700 juta liter sehari (JLH).

"Kerajaan Negeri Selangor mengambil serius dalam usaha memastikan sumber air mentah di Selangor adalah selamat untuk digunakan oleh rakyat,"katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, pensampelan bagi tahun 2015 yang terkini dilakukan pada 18 Februari 2015, dan dilakukan secara mingguan terhadap kolam-kolam yang digunakan untuk pengepaman.

Zaidy tampil memberi penjelasan berikutan ada pihak cuba mengelirukan rakyat dengan meragui tahap kesihatan air mentah di kolam ini.

Kerajaan Negeri Selangor juga melalui LUAS telah mengadakan satu seminar pemakluman status semasa kolam-kolam sumber air alternatif ini pada 18 Jun 2014 yang lalu untuk memberi makluman kepada masyarakat dan pihak-pihak berkaitan berkenaan status kualiti dan kuantiti air kolam-kolam sumber air alternatif Negeri Selangor.

Pada masa yang sama, katanya, pelepasan air empangan di Sungai Selangor dikawal dengan ketat melalui kelulusan daripada LUAS secara harian.

"Beberapa semakan pelepasan juga dilakukan sehingga 3 kali sehari untuk mengoptimakan aliran air sungai sedia ada dan sumber air daripada kolam alternatif tersebut.

"Gabungan langkah pengurangan pelepasan air empangan dan pengepaman air kolam alternatif ini dapat memenuhi keperluan Loji Rawatan Air dan memanjangkan hayat kapasiti empangan,"katanya. - HARAKAHDAILY 27/2/2015

Share on Myspace