Politik baru tanpa Umno BN bertanding pilihan raya

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Umno untuk tidak bertanding di dalam Pilihan raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka yang dikatakan atas faktor mewujudkan perpaduan ummah.

"Dengan keputusan yang dibuat ini, PAS berharap agar Umno tidak lagi menghantar calon di dalam mana-mana pilihan raya kecil mahupun pilihan raya umum kerana ia secara tidak langsung mengakui Umnolah punca utama perpecahan yang berlaku di dalam kalangan masyarakat," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, apabila Umno bertanding di dalam pilihan raya, suasana perpecahan dan perbalahan sering berlaku kerana Umno sering memanipulasikan jentera kerajaan untuk kepentingan partinya sahaja dan sekaligus mewujudkan padang permainan yang tidak rata.

Justeru, kata beliau PAS menghormati keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno kelmarin dan berharap ia akan terus diguna pakai pada masa akan datang.

Ketua Whip Ahli Parlimen PAS menambah, Umno bolehlah meneruskan agenda perjuangan parti mereka dengan menceburi lapangan dan bidang yang lain selain politik.

Pastinya, ujar beliau Malaysia akan mengalami politik baru yang lebih aman damai tanpa perlunya lagi Umno BN bertanding di dalam pilihan raya. - HARAKAHDAILY 27/2/2015

Share on Myspace