IMDB: Kabinet tolak Najib cadang suntik RM3 bilion?

| .

KUALA LUMPUR: Keputusan Kabinet menolak permohonan cadangan menyuntik RM3 bilion tunai untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menggambarkan kerajaan sudah hilang kepercayaan kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkembangan ini merupakan satu implikasi politik yang serius terhadap Perdana Menteri itu.

"Saya tidak menolak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad termasuk bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin akan membuat tekanan terhadap Najib berikutan keputusan ini.

"Paling serius adalah kepincangan kewangan di dalam 1MDB sudah mula diketahui oleh kabinet Najib," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau juga, penolakan cadangan ini menunjukkan suatu yang serius sedang berlaku dalam Kabinet Najib.
"Majoriti menolak untuk tidak mahu meluluskan sebarang bayaran 'bail out' kepada 1MDB, ini menunjukkan suatu yang serius berlaku di dalam pentadbiran Najib ini," katanya lagi.

Dr Dzulkefly turut mengucapkan terima kasih kepada anggota kabinet yang sedar akan kepincangan di dalam 1MDB serta menolak permohonan Najib dalam usaha menjaga kepentingan umum.

Ada sumber dalaman menyebut 1MDB memerlukan suntikan tunai RM3 bilion daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan mungkin MOF tidak mempunyai banyak pilihan kecuali untuk menyelamatkan 1MDB.

Mengikut sumber pasaran kewangan, kerajaan menerbitkan dua kertas perbendaharaan (treasury bills) pada jumlah yang besar (RM2.1bilion) dalam waktu terdekat (11 dan 12 Februari). - HARAKAHDAILY 27/2/2015

Share on Myspace