Taksub, jahil punca pengaruh fahaman ekstremis

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Fahaman ekstremis dalam kalangan kumpulan militan yang menggunakan alasan 'jihad' untuk menghalalkan keganasan dilakukan mereka adalah berpunca daripada kejahilan terhadap agama dan sifat taksub kepada pemimpin, kata Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Albakri.

Beliau berkata kejahilan biasanya dikaitkan dengan kurangnya pengetahuan mengenai agama, menerima maklumat yang salah atau tidak mendalami sesuatu permasalahan dengan lebih meluas.

"Jahil ini merupakan musibah, kerana dengan kejahilan mereka yang mempunyai sedikit maklumat itu maka dia sanggup berdebat dengan sesiapa pun," katanya pada Majlis Taklimat Penjelasan Mengenai Kumpulan Militan IS di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di sini hari ini.

Katanya konsep debat yang sebenar adalah untuk mencari benar atau salah tetapi bagi golongan jahil ialah untuk mencari siapa yang menang atau kalah, dan ia merupakan dua matlamat yang berbeza.

Mengenai sifat taksub pula, Zulkifli berkata ia merupakan satu ancaman kerana sifat taksub akan menghalang perkara yang tidak sealiran dengan mereka dan menganggap yang berlainan daripada mereka adalah salah.

"Ini yang banyak berlaku, bila taksub mereka tidak akan mempertimbangkan dan tidak menggunakan kecerdikan akal serta nas-nas yang lain," katanya.

Mufti Wilayah Persekutuan yang ketujuh itu berkata taksub dan jahil akan menghasilkan satu fahaman yang pelik dan datangnya sifat keras hati yang sering mempertikaikan pelbagai perkara.

Berhubung permasalahan kritikal masa kini iaitu ancaman kumpulan militan yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai 'Islamic State' atau IS, katanya tiada mana-mana ulama sehingga hari ini yang memberi sokongan secara terbuka kepada gerakan tersebut.

"Malah, pada dua hari lepas satu seminar di Makkah yang antara resolusinya telah menggambarkan betapa tidak tepat dan tidak benarnya perjuangan IS itu," katanya.

Katanya kebanyakan para ulama dari seluruh dunia turut meluahkan kritikan dan ketidaksetujuan mereka terhadap cara IS melayan tahanan termasuk membunuh tahanan secara kejam.

"Cara mereka membakar hidup-hidup tahanan adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar yang menekankan konsep ihsan kepada semua makhluk," tegasnya.

Justeru bagi menyelesaikan isu ekstremis, beliau berpandangan pencegahan melalui penguatkuasaan undang-undang sahaja dilihat tidak mencukupi bagi menanganinya.

"Keputusan yang dibuat oleh kebanyakan ulama dalam resolusi-resolusi terkini adalah dengan mengubah sistem pendidikan berkenaan topik Islam itu dengan satu kefahaman yang sebenar.

"Sebagai contoh, berkenaan isu jihad, pasti terpeta dalam kalangan umum bahawa jihad mesti mengangkat senjata, sedangkan di luar sana terdapat banyak ruang (untuk) jihad," katanya.

Memetik pandangan ulama terkemuka Dr Yusuf Al-Qaradawi, beliau berkata terdapat tidak kurang daripada 13 jenis jihad maka kefahaman mengenai konsep Islam terutamanya berkaitan jihad adalah amat penting. - Bernama

 

Share on Myspace