Selangor akan bina sebuah lagi Maahad Tahfiz Integrasi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Selangor bakal membina sebuah lagi Maahad Tahfiz Integrasi tahun depan bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap sekolah berkenaan, lapor Selangor Kini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata sekolah itu akan dibina di Bagan Lalang, Sepang sebagai tambahan kepada Maahad Tahfiz Integrasi sedia ada.

“Tidak dinafikan permintaan daripada ibu bapa terlalu tinggi. Kalau kita lihat keputusan pelajar di sekolah rendah agama, yang mendapat Mumtaz sahaja melebihi 4,000.

“Tempat sedia ada terhad iaitu lebih kurang 3,700. Kalau nak tempatkan pelajar Mumtaz sahaja tidak cukup," katanya kepada Selangor Kini selepas meraikan peserta Lambaian Kaabah Selangorku, di KLIA, semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri sememangnya berusaha membina sekolah berkenaan yang setakat ini ada tiga buah sahaja.

"Perancangan pada tahun depan, kita akan wujudkan sebuah di daerah Sepang iaitu di Bagan Lalang," katanya.

Beliau berkata, tiada masalah dari penyediaan bangunan tetapi ada faktor lain agak sukar dipenuhi dalam masa singkat.

“Kos operasi terlalu tinggi contohnya kursus sains tulen perlukan makmal, maka kita perlukan kos tinggi.

“Kedua, guru akademik untuk mengajar subjek seperti matematik tambahan, biologi dan fizik juga menjadi masalah kepada kita,” katanya.

Share on Myspace