Najib dapat mesej jelas daripada adik-adiknya

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kenyataan empat orang adik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak disiarkan oleh media arus perdana juga dilihat sebagai mesej di pihak ibu beliau.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, kenyataan itu jelas menunjukkan ia sebagai mesej daripada ibu mereka yang tidak mahu dikaitkan dengan penyelewengan oleh Najib.

"Mereka tidak mahu keluarga mereka dikaitkan dengan kekayaan Najib, kerana mereka sebenarnya berasal daripada keluarga yang susah," katanya kepada Harakahdaily.

Salahudin juga terkilan sikap yang diambil oleh media arus perdana yang tidak menyiarkan kenyataan empat beradik Nazir Razak, Johari Razak, Nizam Razak dan Nazim Razak yang mempertahankan ayah mereka Tun Razak.

Malah soalnya mengapa testimoni penting dalam isu integriti ini, pihak akhbar mengenepikan begitu sahaja apa yang ditegaskan oleh empat beradi berkenaan.

"Tidak mengapa media tidak siar tetapi saya yakin rakyat yang peka dan prihatin tentang isu-isu melibatkan intergriti kenyataan empat beradik itu penting sebagai penegasan keluarga tidak setuju dengan apa yang Najib lakukan," tambahnya.

Walau bagaimanapun, katanya apa yang terbongkar ini sebagai peringatan kepada Najib untuk mengingatkan bahawa bapanya bukan dalam kalangan orang senang dan tidak meninggalkan apa-apa harta untuk mereka.

Tegasnya, Almarhum Tun Razak telah membuktikan pemimpin yang berjaya dan meninggalkan kenangan yang baik untuk rakyat.

Sebelum ini kenyataan empat beradik itu diedarkan kepada media susulan laporan New York Times yang memetik kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) tentang sumber kekayaan Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

New York Times menyebut, PMO memaklumkan kepada mereka bahawa sumber kekayaan Najib dan isterinya sebahagiannya datang daripada harta pusaka peninggalan keluarga.

“Kami amat bimbang yang laporan berita dan tulisan mengenai spekulasi tentang butir-butir harta peninggalan yang ditinggalkan arwah ayah kami, Tun Abdul Razak.

“Kami ingin menyatakan secara rasmi yang Tun Abdul Razak seorang yang berprinsip, dikenali ramai dengan sikap berjimat dan integritinya, dan mana-mana kenyataan yang mencadangkan sebaliknya adalah palsu dan menyalahi memori dan khidmatnya serta pengorbanannya kepada negara,” kata keluarganya dalam kenyataan yang ditandatangani anak-anak bekas perdana menteri itu. – HARAKAHDAILY 27/2/2015

Share on Myspace