1MDB: Kenapa Najib tuntut Harakahdaily tarik balik artikel?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan mengapa beliau mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang menuntut Harakahdaily menarik balik artikel yang mengaitkannya dan keluarga dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berikut tulisan beliau menerusi facebook malam tadi.

Saya sedar akan pelbagai tohmahan yang dilemparkan mengaitkan saya dan keluarga saya dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sesungguhnya apa yang ditulis di dalam artikel HarakahDaily bertajuk 'Dana 1MDB Biaya Syarikat Filem Riza Aziz (Bhg 2)' yang diterbitkan pada 19 Februari adalah fitnah pihak tidak bertanggungjawab yang tidak lebih daripada sekadar pembohongan, langsung tidak bersandarkan fakta dan tanpa apa-apa bukti kukuh.

Sebagai warga negara Malaysia, saya berhak untuk mempertahankan diri saya dan keluarga saya daripada fitnah jahat ini menggunakan sistem undang-undang negara. Saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang menuntut HarakahDaily menarik balik artikel tersebut.

Ingin saya tegaskan di sini, 1MDB adalah sebuah syarikat pembangunan strategik, dimiliki oleh Kerajaan Malaysia dan saya tidak akan sesekali membenarkan sesiapa menggunakan atau menyeleweng dana awam untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.

Sebagai Perdana Menteri, saya sedia menerima kritikan membina. Tetapi apabila fitnah liar yang sama-sekali tidak berasas dilemparkan kepada keluarga saya, saya tidak akan berdiam diri atau bertolak-ansur. - HARAKAHDAILY 28/2/2015

Share on Myspace